Membuka Selera dan Menyihatkan
Warna-warna
cerah dan ceria boleh menarik perhatian sesiapa saja. Sama ada pakaian,
permainan, minuman, makanan atau apa saja pastinya, ramai yang mudah tertarik, tidak
kira kanak-kanak mahupun golongan dewasa. Dalam aspek pemakanan, warna-warna
ceria ini bukan saja mudah menambat selera malah menyihatkan.
Buah-buahan
dan sayur-sayuran adalah amat penting dalam dalam diet manusia kerana
kedua-duanya mempunyai peranan yang sangat besar dalam penjagaan kesihatan.
Hidangan sihat ini juga dapat membantu keluarga dalam usaha mengurangkan risiko
pelbagai penyakit. Antara cara terbaik untuk membantu keluarga anda agar berada
dalam keadaan sihat adalah dengan menggalakkan pemakanan seimbang yang sihat
serta bersenam!
Pihak Dietary Guidelines for Americans menyarankan agar setiap
individu memakan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran berbanding makanan
daripada kumpulan lain. Ini tidak bermakna saranan itu hanya sesuai untuk
rakyat Amerika saja. Setiap langkah yang diambil untuk menambahkan pemakanan
buah-buahan dan sayur-sayuran akan membantu setiap manusia berada dalam keadaan
yang lebih baik. Ini kerana, buah-buahan dan sayur-sayuran boleh mengurangkan
risiko terhadap pelbagai jenis penyakit.
Sebanyak manakah yang kita perlukan? Tidak ada jumlah tetap. Keperluan
buah-buahan dan sayur-sayuran bagi sesebuah keluarga sebenarnya banyak
bergantung pada jumlah kalori yang diperlukan seseorang itu iaitu berdasarkan
jantina, usia dan tahap aktiviti yang dilakukannya. Sebaiknya, jadikanlah
buah-buahan dan sayur-sayuran separuh daripada makanan harian anda.
Amalan pengambilan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran pasti dapat
menjamin kesihatan seisi keluarga.
Bolehkah seseorang itu makan terlalu banyak buah-buahan? Anda telah
mengambil langkah yang betul dan menyihatkan sekiranya telah menjadikan
buah-buahan sebagai snek serta makanan sampingan dalam hidangan seharian. Bagaimanapun,
adalah keterlaluan sekiranya anda hanya makan buah-buahan sebagai pengganti
makanan lain umpamanya sayur-sayuran dan pelbagai makanan yang mengandungi
kalsium, protein, serat serta bijirin. Ingat, adalah penting untuk
mengamalkan diet seimbang.
Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber utama nutrien-nutrien yang
diperlukan oleh manusia. Antara nutrien keperluan tubuh manusia adalah seperti
berikut:
- Fiber/serat – Diet pemakanan yang kaya dengan serat telah terbukti mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan termasuk mengurangkan risiko penyakit koronari. Fiber membantu memenuhi keperluan tubuh anda serta membuatkan sistem penghadaman yang teratur.
- Vitamin A - Penting untuk kesihatan mata dan kulit. Ia juga melindungi tubuh daripada sebarang jangkitan.
- Vitamin C - Membantu menyembuhkan luka dan parut. Ia juga membantu agar gigi dan gusi sentiasa sihat.
- Zat besi - Amat penting untuk kesihatan darah serta fungsi sel-sel darah.
- Folat - Diet yang menyihatkan dengan jumlah folat yang cukup boleh mengurangkan risiko melahirkan anak yang mempunyai masalah berkaitan otak atau spina.
- Magnesium - Magnesium adalah penting untuk kesihatan tulang dan terlibat dengan lebih daripada 30 enzim di dalam tubuh manusia. Ketidakcukupan magnesium boleh menyebabkan kekejangan dan tekanan darah tinggi.
- Kalsium – sangat penting untuk tulang dan gigi yang sihat. Ia juga diperlukan untuk fungsi beberapa otot, saraf dan kelenjar.
- Natrium - Amat diperlukan untuk fungsi-fungsi sel di seluruh tubuh. Bagaimanapun, kebanyakan makanan mempunyai lebihan natrium yang sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi.
- Kalium - Diet yang kaya dengan kalium boleh membantu mengekalkan tekanan darah yang sihat.
Jadikan
hidangan anda menarik, hidangkannya dalam pelbagai warna! Makanlah buah-buahan
dan sayur-sayuran yang berwarna-warni - campurkan saja sama ada ia merah,
hijau, kuning, jingga, ungu, putih, oren dan sebagainya. Hidangan anda bukan
saja kelihatan cantik malah mempunyai pelbagai rasa yang enak sekali gus
membekalkan pelbagai nutrien untuk tubuh. Pinggan anda akan kelihatan bak
pelangi, cantik dan menarik. Bukan saja anda malah, pastinya anak-anak ceria
menikmatinya tanpa dipaksa.
Pelbagaikan
diet, jadikannya menarik dan menyelerakan!
Kelebihan buah-buahan
dan sayur-sayuran
- Rasanya sedap!
- Menyeronokkan – ada yang rangup, lembut atau berjeli.
- Snek semula jadi yang mudah didapati, disediakan dan dinikmati.
- Terdiri pelbagai jenis, anda punya banyak pilihan.
- Kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral untuk tenaga dan kesihatan.
- Dapat membantu mengurangkan risiko pelbagai penyakit termasuk penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan beberapa jenis kanser.
- Secara semula jadi rendah dalam kalori.
- Penuh dengan nutrien dalam apa bentuk sekalipun – segar, sejuk beku, ditinkan, kering atau jus.
- Warna dan tekstur yang pelbagai yang mampu membuka selera.
No comments:
Post a Comment