Minum Teh Lebih Baik Daripada
Air Kosong
Rata-rata,
umum mengetahui dan sentiasa diberitahu bahawa amalan meminum air kosong/putih
adalah yang terbaik. Lain pula kisahnya penemuan para penyelidik King’s
College, London, UK, tidak lama dulu.
Mereka
mendapati, jika seseorang itu meminum sekurang-kurangnya tiga cawan teh atau lebih
setiap hari, tahap kesihatannya boleh meningkatkan berbanding apabila hanya
minum air kosong/putih.
Kajian tersebut, antara lain mendapati, kepercayaan
bahawa teh menyahhidrat cairan/bendalir dalam tubuh adalah tidak benar, kerana
hakikatnya teh menghidratkan tubuh sepertimana air kosong/putih. Teh
bukan saja menghidrat semula tubuh, malah melindungi kita daripada risiko
penyakit jantung serta kanser. Lebih
daripada itu, amalan meminum teh sekurang-kurangnya tiga cawan teh atau lebih
setiap hari boleh membantu kita menjaga kesihatan gigi dan tulang.
Para
penyelidik terlibat yang tidak dapat menjelaskan secara terperinci mengenai
penemuan tersebut bagaimanapun percaya bahawa ianya adalah kerana kandungan flavaniod,
sejenis antioksidan polyphenol yang banyak ditemukan dalam buah-buahan, sayuran
dan rempah-rempah termasuk teh. Flavonoid berperanan membantu menghalang
kerosakan sel.
Ketua
penyelidik, Dr Carrie Ruxton, seorang pakar pemakanan, berkata bahawa teh
adalah lebih baik daripada air kosong/putih kerana air hanya menghidratkan
semula tubuh, manakala teh menghidratkan semula serta mengandungi antioksidan
yang diperlukan tubuh. Dengan teh, kita
memperoleh dua faedah.
Dalam
satu temu bual dengan BBC, Dr. Ruxton berkata, “Kajian ke atas kafeina
mendapati ianya mengandungi dos penyahhidrat yang tinggi justeru setiap
individu yang meminum minum berkafein menganggap ianya menyahhidrat tubuh. Tetapi, hakikatnya, jika seseorang itu telah
minum secawan teh atau kopi pekat, cairan/bendalir dalam tubuhnya tetap
bertambah. Malah, secawan teh mengandungi flourida, yang sememangnya baik untuk
gigi.
Kumpulan
penyelidik tersebut mendapati, orang ramai di UK semakin kurang meminum
teh berbanding sebelumnya - mungkin
kerana kebanyakan mereka lebih memilih minuman ringan. Golongan yang banyak
minum teh di UK adalah mereka yang berusia lebih 40 tahun.
Hasil
menyeluruh kajian tersebut disiarkan dalam The European Journal of Clinical
Nutrition.
Gemar Minum Teh Penyebab
Kanser Prostat
Banyak
penyelidikan telah membuktikan teh adalah baik untuk kesihatan. Bagaimanapun,
ada pula kajian yang menyatakan bahawa lelaki yang banyak minum teh berisiko
tinggi menderita gangguan prostat.
Kajian
oleh sekumpulan penyelidik dari Glasgow University itu dijalankan ke atas lebih
6,000 sukarelawan dengan memantau tahap kesihatan mereka selama 37 tahun.
Kajian tersebut mendapati lelaki yang minum lebih daripada tujuh cawan teh
setiap hari mempunyai 50 peratus lebih tinggi risiko menghidap kanser prostat
berbanding lelaki yang minum secara sederhana atau tidak minum teh langsung.
Para
penyelidik bagaimanapun tidak dapat memastikan samada teh adalah antara punca meningkatnya risiko kanser prostat atau kerana
lazimnya umur mereka yang minum teh adalah lebih panjang, justeru penyakit kanser
prostat kerap berlaku apabila mereka lebih berusia.
Kanser
prostat adalah jenis kanser yang kerap berlaku di kalangan lelaki di Scotland
dan diagnosis penyakit ini meningkat sebanyak 7.4 persen di antara tahun 2000
dan 2010.
Kajian
yang bermula pada tahun 1970 itu melibatkan seramai 6016 sukarelawan berumur di
antara 21 hingga 75 tahun. Mereka diminta menjawab soalan-soalan mengenai
tabiat minum teh, kopi, alkohol, merokok dan kesihatan umum, dan seterusnya
diminta menghadiri pemeriksaan kesihatan.
Hampir
suku/seperempat daripada mereka adalah peminum tegar teh. Daripada jumlah itu
pula, 6.4 peratus didiagnos menghidap kanser prostat sepanjang tempoh
penyelidikan yang memakan masa selama 37 tahun itu.
Mereka
juga mendapati bahawa lelaki yang minum lebih daripada 7 cawan teh setiap hari
mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser prostat berbanding lelaki yang
tidak minum atau minum kurang daripada 4 cawan sehari.
“Kami
tidak pasti samada teh merupkan faktor risiko atau ianya kerana mereka yang
minum teh selalunya lebih sihat dan boleh hidup lebih lama di mana pada usia
tersebut lebih berisiko menghidap kanser prostat,” menurut Dr. Kashif Shafique,
pengersi kumpulan penyelidik dari Glasgow University Institute of Health and
Wellbeing itu.
“Kami
mendapati para peminum tegar teh jarang sekali menghadapi masalah berat badan,
tidak minum alcohol dan mempunyai tahap kolesterol yang baik,” tambah Shafique
yang menerbitkan penemuan tersebut dalam jurnal Nutrition and Cancer.
Sementara
itu, Dr Kate Holmes, Ketua penyelidikan di Prostate Cancer Charity, berkata
terdapat kelemahan dalam penyelidikan itu kerana ia tidak mengambil kira latar
belakang sejarah keluarga atau unsur-unsur makanan lain selain tabiat meminum
teh, kopi dan alkohol.
“Oleh
itu kami tidak mahu sesiapapun rasa risau bahawa dengan meminum teh secara
sederhana sebagai sebahagian amalan pemakanan sihat tidak semestinya
meningkatkan risiko menghidap kanser prostat,” katanya.
Nota:
Kanser prostat atau Barah prostat adalah sejenis kanser yang berkembang
di dalam prostat iaitu kelenjar dalam sistem pembiakan lelaki.
No comments:
Post a Comment