Showing posts with label warna-warni. Show all posts
Showing posts with label warna-warni. Show all posts

Wednesday 24 July 2013

HIDANGAN BAK PELANGI




Membuka Selera dan Menyihatkan
Warna-warna cerah dan ceria boleh menarik perhatian sesiapa saja. Sama ada pakaian, permainan, minuman, makanan atau apa saja pastinya, ramai yang mudah tertarik, tidak kira kanak-kanak mahupun golongan dewasa. Dalam aspek pemakanan, warna-warna ceria ini bukan saja mudah menambat selera malah menyihatkan.
Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah amat penting dalam dalam diet manusia kerana kedua-duanya mempunyai peranan yang sangat besar dalam penjagaan kesihatan. Hidangan sihat ini juga dapat membantu keluarga dalam usaha mengurangkan risiko pelbagai penyakit. Antara cara terbaik untuk membantu keluarga anda agar berada dalam keadaan sihat adalah dengan menggalakkan pemakanan seimbang yang sihat serta bersenam!

Pihak Dietary Guidelines for Americans menyarankan agar setiap individu memakan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran berbanding makanan daripada kumpulan lain. Ini tidak bermakna saranan itu hanya sesuai untuk rakyat Amerika saja. Setiap langkah yang diambil untuk menambahkan pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran akan membantu setiap manusia berada dalam keadaan yang lebih baik. Ini kerana, buah-buahan dan sayur-sayuran boleh mengurangkan risiko terhadap pelbagai jenis penyakit.

Sebanyak manakah yang kita perlukan? Tidak ada jumlah tetap. Keperluan buah-buahan dan sayur-sayuran bagi sesebuah keluarga sebenarnya banyak bergantung pada jumlah kalori yang diperlukan seseorang itu iaitu berdasarkan jantina, usia dan tahap aktiviti yang dilakukannya. Sebaiknya, jadikanlah buah-buahan dan sayur-sayuran separuh daripada makanan harian anda.  Amalan pengambilan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran pasti dapat menjamin kesihatan seisi keluarga.

Bolehkah seseorang itu makan terlalu banyak buah-buahan? Anda telah mengambil langkah yang betul dan menyihatkan sekiranya telah menjadikan buah-buahan sebagai snek serta makanan sampingan dalam hidangan seharian. Bagaimanapun, adalah keterlaluan sekiranya anda hanya makan buah-buahan sebagai pengganti makanan lain umpamanya sayur-sayuran dan pelbagai makanan yang mengandungi kalsium, protein, serat  serta bijirin. Ingat, adalah penting untuk mengamalkan diet seimbang.

Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber utama nutrien-nutrien yang diperlukan oleh manusia. Antara nutrien keperluan tubuh manusia adalah seperti berikut:
  • Fiber/serat – Diet pemakanan yang kaya dengan serat telah terbukti mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan termasuk mengurangkan risiko penyakit koronari. Fiber membantu memenuhi keperluan tubuh anda serta membuatkan sistem penghadaman yang teratur.
  • Vitamin A - Penting untuk kesihatan mata dan kulit. Ia juga melindungi tubuh daripada sebarang jangkitan.
  • Vitamin C - Membantu menyembuhkan luka dan parut. Ia juga membantu agar gigi dan gusi sentiasa sihat.
  • Zat besi - Amat penting untuk kesihatan darah serta fungsi sel-sel darah.
  • Folat - Diet yang menyihatkan dengan jumlah folat yang cukup boleh mengurangkan risiko melahirkan anak yang mempunyai masalah berkaitan otak atau spina.
  • Magnesium - Magnesium adalah penting untuk kesihatan tulang dan terlibat dengan lebih daripada 30 enzim di dalam tubuh manusia. Ketidakcukupan magnesium boleh menyebabkan kekejangan dan tekanan darah tinggi.
  • Kalsium – sangat penting untuk tulang dan gigi yang sihat. Ia juga diperlukan untuk fungsi beberapa otot, saraf dan kelenjar.
  • Natrium - Amat diperlukan untuk fungsi-fungsi sel di seluruh tubuh. Bagaimanapun, kebanyakan makanan mempunyai lebihan natrium yang  sering dikaitkan dengan  tekanan darah tinggi.
  • Kalium - Diet yang kaya dengan kalium boleh membantu mengekalkan tekanan darah yang sihat.
Jadikan hidangan anda menarik, hidangkannya dalam pelbagai warna! Makanlah buah-buahan dan sayur-sayuran yang berwarna-warni - campurkan saja sama ada ia  merah, hijau, kuning, jingga, ungu, putih, oren dan sebagainya. Hidangan anda bukan saja kelihatan cantik malah mempunyai pelbagai rasa yang enak sekali gus membekalkan pelbagai nutrien untuk tubuh.  Pinggan anda akan kelihatan bak pelangi, cantik dan menarik. Bukan saja anda malah, pastinya anak-anak ceria menikmatinya tanpa dipaksa.
Pelbagaikan diet, jadikannya menarik dan menyelerakan!
Kelebihan buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Rasanya sedap!
  • Menyeronokkan – ada yang rangup, lembut atau berjeli.
  •  Snek semula jadi  yang mudah didapati, disediakan dan dinikmati.
  • Terdiri pelbagai jenis, anda punya banyak pilihan.
  • Kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral untuk tenaga dan kesihatan.
  • Dapat membantu mengurangkan risiko pelbagai penyakit termasuk penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan beberapa jenis kanser.
  • Secara semula jadi rendah dalam kalori.
  • Penuh dengan nutrien dalam apa bentuk sekalipun – segar, sejuk beku, ditinkan, kering atau jus.
  • Warna dan tekstur yang pelbagai yang mampu membuka selera.