Showing posts with label fruits. Show all posts
Showing posts with label fruits. Show all posts

Thursday 23 January 2014

DESARU FRUIT FARM



Kenali, Ketahui & Nikmati Buah-buahan

Kunjungan ke Desaru Fruit Farm bukan saja mengujakan, malah berbaloi. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah menariknya kalau sekadar lawatan ke ladang buah-buahan?
Namun, pasti tidak kurang juga yang teruja apabila membaca mengenai Desaru Fruit Farm yang telah banyak disiarkan melalui pelbagai media. 
Hakikatnya, bak kata orang ‘tak kenal maka tak cinta’. Tidak cukup sekadar mengetahui mengenainya melalui media, anda perlu berkunjung ke sana dan pastinya pengalaman lawatan itu amat berharga.
Di Desaru Fruit Farn, para pengunjung bukan saja boleh melawat ladang tersebut, malah menikmati segala aspek yang terdapat di situ. 
 Deria mata untuk melihat, hidung untuk menghidu, tangan untuk menyentuh. Melawat ladang seluas itu juga, secara tidak langsung, anda bagaikan bersenam sambil mempelajari pelbagai aspek mengenai pelbagai pohon buah-buahan.


Lawatan bersama-sama sekumpulan 40 orang wartawan pelbagai media ke Desaru Fruit Farm itu bukan saja memberi pengalaman baru kepada kami malah, ia juga telah banyak memberi maklumat berguna sama ada untuk tujuan menambah pengetahuan mahupun untuk penulisan masing-masing.



Rombongan kami di sambut oleh Henry Goh, Pengurus Besar setibanya kami di ladang tersebut. Pengetahuan Henry yang luas dan mendalam memudahkan kami mendapatkan pelbagai jawapan yang diperlukan. Menariknya, soalan bukan saja diajukan oleh para wartawan, sebaliknya Henry juga banyak bertanya. Ada di antara soalannya untuk menguji pengetahuan kami, ada juga teka-teki yang menguji minda.
Antara soalan-soalan Henry adalah:
-           “Tahukah anda terdapat bunga jantan dan bunga betina pada tanaman nangka ini?”
-          “Bagaimanakah caranya untuk pilih buah jambu yang baik?”
-          “Tahukah perbezaan di antara kura-kura jantan dan betina?”

Selain benyak lagi soalan-soalan. Henry juga memberi penerangan mengenai amalan pembajaan organik di ladang itu serta petua-petua kesihatan yang boleh diperolehi  daripada buah-buahan, ulam-ulaman serta pelbagai tanaman di situ.
Ladang seluas 100 ekar ini terdiri daripada 10 spesies tanaman, 100 jenis buah-buahan tropika yang antaranya termasuk Limau Madu, Limau Kasturi, Belimbing Asam, Durian, Nangka, Jambu Air, Ciku, Jambu Madu/Mawar, Rambutan, Pulasan, Cempedak, Kedondong, Papaya, Delima, Pisang, mangga dan banyak lagi.


Antara tarikan lain di Desaru Fruit Farm ialah kolam ikan koi dan mini zoo yang menempatkan kambing-kambing, arnab, ular sawa, kura-kura, burung unta, ayam serama, burung merak, ayam belanda  dan lain-lain.












Selesai lawatan di ladang, kami berkumpul di sebuah dewan di mana kami diberikan taklimat mengenai pengurusan lebah yang dilakukan di ladang tersebut. Kami juga berpeluang merasai madu segar di situ. Ramai juga di antara kami yang membeli madu yang dijual di situ.
 







 Kami kemudiannya diraikan di majlis makan tengah hari. Lebih 50 peratus hidangannya terdiri daripada pelbagai jenis buah-buahan termasuklah durian. Pisang dan sukun yang digoreng panas-panas turut dihidangkan. Minuman yang dihidangkan juga diperbuat daripada buah-buahan yang di tanam di situ. Masing-masing puas menjamu selera dan kekenyangan, bagaikan malas meninggalkan tempat duduk terutamanya hujan masih renyai-renyai di luar, justeru bersantai menikmati nyanyian rakan-rakan yang berkaraoke.

Sebelum bertolak ke destinasi seterusnya, kami membeli-belah di kedai cenderahati di situ. Ada yang membeli buah-buahan segar, t-shirt, jeruk dan sebagainya.
Desaru Fruit Farm
-          Dibuka sejak 1990
-          Terletak Sungai Cemaran, di sepanjang jalan utama Desaru
-          Dari Johor Bahru - gunakan jalan utama Johor Bahru-Kota Tinggi (45km)
-          Dari Lebuhraya Utara - Selatan - keluar di persimpangan Pasir Gudang atau Kulai
-          Dari Mersing -  gunakan jalan utama Mersing - Kota Tinggi
-          Dari Kota Tinggi ke Desaru Fruit Faram - 39 km.
-          Ladang ini dibuka setiap hari  dari 8pagi - 6ptg.
-          Maklumat lanjut, hubungi tel: 07–822 5886, 822 3886 dan 822 8017 or Faks: 07–822 4886. Emel: sales@desaruff.com. atau layari laman sesawang: www.desaruff.com