Kenali, Ketahui
& Nikmati Buah-buahan
Kunjungan ke Desaru Fruit Farm
bukan saja mengujakan, malah berbaloi. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah
menariknya kalau sekadar lawatan ke ladang buah-buahan?
Namun, pasti tidak kurang juga yang
teruja apabila membaca mengenai Desaru Fruit Farm yang telah banyak disiarkan
melalui pelbagai media.
Hakikatnya, bak kata orang ‘tak kenal maka tak cinta’.
Tidak cukup sekadar mengetahui mengenainya melalui media, anda perlu berkunjung
ke sana dan pastinya pengalaman lawatan itu amat berharga.
Di Desaru Fruit Farn, para
pengunjung bukan saja boleh melawat ladang tersebut, malah menikmati segala
aspek yang terdapat di situ.
Deria mata untuk melihat, hidung untuk menghidu,
tangan untuk menyentuh. Melawat ladang seluas itu juga, secara tidak langsung,
anda bagaikan bersenam sambil mempelajari pelbagai aspek mengenai pelbagai
pohon buah-buahan.
Lawatan bersama-sama sekumpulan
40 orang wartawan pelbagai media ke Desaru Fruit Farm itu bukan saja memberi
pengalaman baru kepada kami malah, ia juga telah banyak memberi maklumat
berguna sama ada untuk tujuan menambah pengetahuan mahupun untuk penulisan
masing-masing.
Rombongan kami di sambut oleh
Henry Goh, Pengurus Besar setibanya kami di ladang tersebut. Pengetahuan Henry
yang luas dan mendalam memudahkan kami mendapatkan pelbagai jawapan yang
diperlukan. Menariknya, soalan bukan saja diajukan oleh para wartawan,
sebaliknya Henry juga banyak bertanya. Ada di antara soalannya untuk menguji
pengetahuan kami, ada juga teka-teki yang menguji minda.
Antara soalan-soalan Henry
adalah:
-
“Tahukah
anda terdapat bunga jantan dan bunga betina pada tanaman nangka ini?”
-
“Bagaimanakah caranya
untuk pilih buah jambu yang baik?”
-
“Tahukah perbezaan di
antara kura-kura jantan dan betina?”
Selain benyak lagi soalan-soalan.
Henry juga memberi penerangan mengenai amalan pembajaan organik di ladang itu
serta petua-petua kesihatan yang boleh diperolehi daripada buah-buahan, ulam-ulaman serta
pelbagai tanaman di situ.
Ladang seluas 100 ekar
ini terdiri daripada 10 spesies tanaman, 100 jenis buah-buahan tropika yang
antaranya termasuk Limau Madu, Limau Kasturi, Belimbing Asam, Durian,
Nangka, Jambu Air, Ciku, Jambu Madu/Mawar, Rambutan, Pulasan, Cempedak,
Kedondong, Papaya, Delima, Pisang, mangga dan banyak lagi.
Antara tarikan lain di Desaru Fruit Farm ialah
kolam ikan koi dan mini zoo yang menempatkan kambing-kambing, arnab, ular sawa,
kura-kura, burung unta, ayam serama, burung merak, ayam belanda dan lain-lain.
Selesai lawatan di ladang, kami
berkumpul di sebuah dewan di mana kami diberikan taklimat mengenai pengurusan
lebah yang dilakukan di ladang tersebut. Kami juga berpeluang merasai madu
segar di situ. Ramai juga di antara kami yang membeli madu yang dijual di situ.
Kami kemudiannya diraikan di majlis makan tengah
hari. Lebih 50 peratus hidangannya terdiri daripada pelbagai jenis buah-buahan
termasuklah durian. Pisang dan sukun yang digoreng panas-panas turut
dihidangkan. Minuman yang dihidangkan juga diperbuat daripada buah-buahan yang
di tanam di situ. Masing-masing puas menjamu selera dan kekenyangan, bagaikan
malas meninggalkan tempat duduk terutamanya hujan masih renyai-renyai di luar,
justeru bersantai menikmati nyanyian rakan-rakan yang berkaraoke.
Sebelum bertolak ke destinasi seterusnya, kami
membeli-belah di kedai cenderahati di situ. Ada yang membeli buah-buahan segar,
t-shirt, jeruk dan sebagainya.
Desaru Fruit Farm
-
Dibuka sejak 1990
-
Terletak Sungai Cemaran, di sepanjang jalan utama
Desaru
-
Dari Johor Bahru - gunakan jalan utama Johor
Bahru-Kota Tinggi (45km)
-
Dari Lebuhraya Utara - Selatan - keluar di
persimpangan Pasir Gudang atau Kulai
-
Dari Mersing - gunakan jalan utama Mersing - Kota Tinggi
-
Dari Kota Tinggi ke Desaru Fruit Faram - 39 km.
-
Ladang ini dibuka setiap hari dari 8pagi - 6ptg.
-
Maklumat lanjut, hubungi tel: 07–822 5886, 822
3886 dan 822 8017 or Faks: 07–822 4886. Emel: sales@desaruff.com. atau layari
laman sesawang: www.desaruff.com