Showing posts with label Johor. Show all posts
Showing posts with label Johor. Show all posts

Saturday 25 January 2014

BONEKA KEPALA SINGA



Sifu siow terkenal  di seluruh dunia

Sifu Siow menunjukkan boneka kepala singa yang hampir siap.
Pertama kali bertemunya, seseorang pasti akan teringatkan wajah guru kungfu seperti yang pernah di tonton di dalam filem. Air mukanya tenang. Dia bukan saja peramah, malah wajahnya sentiasa manis dengan senyuman. Matanya bersinar keceriaan tetapi mempamerkan kelembutan.

Siow Ho Phiew, menyambut kedatangan kami dengan penuh mesra. Sambil bersalaman, dia menjelaskan bahawa dia tidak begitu fasih berbahasa Malaysia, “sekadar bahasa pasar bolehlah,” katanya. Seorang yang rendah diri, tidak siapa akan menyangka bahawa kepakarannya dalam tarian singa dan pembuatan boneka boneka kepala singa telah menjadikannya seorang guru tarian singa yang disegani di dunia.

Lebih terkenal dengan panggilan Master Siow atau Sifu Siow,57, beliau bukan saja pernah melatih kumpulan Tarian Singa dari Muar Johor, Selangor, Kedah, Sabah dan  Sarawak, malah melahirkan kumpulan juara dunia tarian singa.

Beliau juga pernah melatih kumpulan-kumpulan tarian singa dari serata dunia termasuk China, Macau, Hong Kong, Indonesia, Thailand, Mauritius, Australia, Jepun, Kanada, Amerika Syarikat, Sepanyol dan New Zealand.  Beliau sering dijemput menjadi juri bagi pertandingan-pertandingan tarian singa. Malah, boleh dikatakan 70 peratus daripada juri dalam kebanyakan pertandingan tarian singa terdiri daripada anak muridnya.

Menyediakan bingkai boneka kepala singa.
Melangkah masuk ke dalam bengkelnya di Subang 2, Shah Alam, anda akan dapat melihat berpuluh buah boneka kepala singa yang sedang dibuat, masing-masing pada peringkat tertentu. Ada yang siap dibalut, ada yang sedang di pasang bulunya manakala banyak lagi bingkai yang kelihatan tergantung menantikan proses seterusnya. Kelihatan para pekerjanya masing-masing sedang sibuk membentuk rotan untuk bingkai boneka kepala singa, memasang bulu dan mewarnakan corak.

Menceritakan pembabitannya dalam pembuatan boneka kepala singa,Sifu Siow memberitahu bahawa semasa kecil dia suka menonton cerita kung fu dan juga melihat persembahan tarian singa yang pada ketika itu hanya boleh ditonton ketika musim perayaan Tahun Baru Cina.

Beliau menyertai kumpulan tarian singa ketika berumur 18 tahun. Ia bermula apabila beliau mendapat tahu bahawa salah seorang kawan bapanya adalah seorang guru kungfu. Selepas mendapat kebenaran bapanya, dia mempelajari seni mempertahankan diri Southern Shao Lin daripada kawan bapanya itu.

“Di situlah, saya berpeluang menyertai kumpulan tarian singa. Dalam tempoh kurang lima tahun, saya sudah menjadi pembantu jurulatih dan menjadi Master ketika berusia 24 tahun,” katanya sambil mengakui minatnya yang mendalam serta kegigihannya telah memungkinkan pencapaiannya itu.

"Pada awalnya, saya hanya mengajar tarian singa secara sambilan kerana saya
bekerja sebagai petani. Latihan tarian singa memerlukan pengorbanan dan
komitment yang tinggi,” tambah beliau yang terpaksa menghadiri latihan sebanyak
dua hingga tiga kali seminggu selepas penat bekerja di kebun.

Mewarna dengan teliti.
Cintanya terhadap tarian singa semakin mendalam sehingga beliau menyifatkan tarian singa sudah menjadi darah dagingnya sehinggalah ke hari ini, beliau bukan saja aktif memberi latihan tarian singa malah mempunyai perniagaan  membuat boneka yang terkenal sehingga ke luar negara. Segalanya bermula ekoran boneka kepala singa sulungnya yang dibeli dari China telah lama dan rosak.

Menceritakan mengenai penglibatannya dalam pembuatan boneka kepala singa, dia memberitahu bahawa dia terpaksa memperbaiki dengan menampal boneka kepala singa sulungnya tersebut setiap kali ia rosak. Sehinggalah, suatu hari dia mengambil keputusan untuk cuba membuatnya sendiri.

“Puas saya renung selama berjam-jam, membelek dan menkaji bahagian dalam boneka kepala singa itu untuk mengetahui sedikit sebanyak selok-belok pembuatannya dan memikirkan cara-cara untuk menambahbaikkannya,” jelas beliau.

Sifu Siow mendapati reka bentuk boneka kepala singa yang dibuat dari China dan
itu agak berat dan boleh menyebabkan kecederaan kepada para penari. Beliau
kemudiannya mengdaptasi reka bentuk asalnya dan menambahbaikkan kualitinya
dengan reka bentuknya sendiri. Hari ini, Sifu Siow boleh berbangga kerana pereka
di negara China pula yang  mahu meniru seni kraf beliau.

Boneka kepala singa dari China diperbuat daripada buluh yang bukan saja mudah patah bila dibentuk, malah mudah dirosakkan serangga dan ulat. Jadi, beliau menggunakan rotan untuk kebanyakan bahagian bingkai boneka kepala singa buatannya. Peralatan lain termasuklah aluminum, kain kasa, kertas khas yang diperbuat daripada buluh, bulu arnab dan  biri-biri.
Anak Sifu Siow membantu di kedai.

Boneka kepala singa yang pertama dibuatnya tidak sebaik yang diharapkan namun lama-kelamaan beliau berjaya. “Boneka itu memang cantik tetapi agak berat dan tidak praktikal untuk digunakan. Saya terus mencuba dan mencuba untuk beberapa kali sehinggalah memuaskan hati. Rakan saya turut tertarik dan meminta saya menghasilkan untuknya,” jelas Sifu Siow.

Sejak itu, boneka kepala singa buatannya mula dikenali ramai dan mendapat tempahan sehinggalah akhirnya beliau membuat keputusan untuk memulakan perniagaan dengan menubuhkan syarikat yang diberi nama Wan Seng Hang (WSH) Dragon &Lion Arts pada tahun 1986.Syarikatnya yang kini mempunyai seramai 20 orang pekerja menghasilkan kira-kira 500 buah boneka kepala singa setiap tahun. Setiap boneka kepala singa boleh disiapkan di antara tujuh hingga 10 hari. Terdapat kira-kira 10 jenis kostum kesemuanya.

Sifu Siow telah mereka bentuk boneka kepala singa Wan Seng Hang dengan identiti sendiri dalam dunia pembuatan kraf ini. Contohnya, seseorang yang mahu menempah seumpama kraf ini di China akan ditanya mengenai seni reka yang diinginkan, dari China atau Singa Wan Seng Hang dari Malaysia. Kini, kumpulan Tarian Singa dari China juga merupakan pelanggannya. Sifu Siow bukan sahaja menerima tempahan dari Amerika, Taiwan, Singapura dan negara-negara Eropah, bahkan China, negara asal tarian itu, juga ada mengimport boneka kepala singanya.

Beliau menerima tempahan sepanjang tahun 
dan permintaan meningkat beberapa bulan 
sebelum sambutan Tahun Baru Cina, dan merupakan masa yang paling
sibuk bagi beliau dan anak-anak buahnya. Kebanyakan tempahan datangnya dari
 Persatuan-persatuan Tarian Singa seluruh dunia. Harga satu set kostum
 tarian singa ialah di antara RM1,800 hingga RM2,000.

Selain anak-anaknya yang menolong dalam operasi harian di syarikatnya, Sifu Siow mengakui tidak susah untuk mendapat pekerja kerana generasi muda yang datang belajar daripadanya, sangat berminat dalam seni kraf tersebut. Jadi, beliau mudah memenuhi jemputan untuk sama ada mengajar tarian singa, menjadi juri atau menyertai seminar di dalam dan luar negara kerana yakin dengan para pekerjanya dalam melaksanakan tugas harian.

Beliau yakin bahawa persembahan Tarian Singa mempunyai masa depan yang cerah. “Lihat sajalah Pertandingan Tarian Singa Genting yang dianjurkan, saban tahun lebih banyak pasukan dari seluruh dunia yang menyertainya.

Thursday 23 January 2014

DESARU FRUIT FARM



Kenali, Ketahui & Nikmati Buah-buahan

Kunjungan ke Desaru Fruit Farm bukan saja mengujakan, malah berbaloi. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah menariknya kalau sekadar lawatan ke ladang buah-buahan?
Namun, pasti tidak kurang juga yang teruja apabila membaca mengenai Desaru Fruit Farm yang telah banyak disiarkan melalui pelbagai media. 
Hakikatnya, bak kata orang ‘tak kenal maka tak cinta’. Tidak cukup sekadar mengetahui mengenainya melalui media, anda perlu berkunjung ke sana dan pastinya pengalaman lawatan itu amat berharga.
Di Desaru Fruit Farn, para pengunjung bukan saja boleh melawat ladang tersebut, malah menikmati segala aspek yang terdapat di situ. 
 Deria mata untuk melihat, hidung untuk menghidu, tangan untuk menyentuh. Melawat ladang seluas itu juga, secara tidak langsung, anda bagaikan bersenam sambil mempelajari pelbagai aspek mengenai pelbagai pohon buah-buahan.


Lawatan bersama-sama sekumpulan 40 orang wartawan pelbagai media ke Desaru Fruit Farm itu bukan saja memberi pengalaman baru kepada kami malah, ia juga telah banyak memberi maklumat berguna sama ada untuk tujuan menambah pengetahuan mahupun untuk penulisan masing-masing.



Rombongan kami di sambut oleh Henry Goh, Pengurus Besar setibanya kami di ladang tersebut. Pengetahuan Henry yang luas dan mendalam memudahkan kami mendapatkan pelbagai jawapan yang diperlukan. Menariknya, soalan bukan saja diajukan oleh para wartawan, sebaliknya Henry juga banyak bertanya. Ada di antara soalannya untuk menguji pengetahuan kami, ada juga teka-teki yang menguji minda.
Antara soalan-soalan Henry adalah:
-           “Tahukah anda terdapat bunga jantan dan bunga betina pada tanaman nangka ini?”
-          “Bagaimanakah caranya untuk pilih buah jambu yang baik?”
-          “Tahukah perbezaan di antara kura-kura jantan dan betina?”

Selain benyak lagi soalan-soalan. Henry juga memberi penerangan mengenai amalan pembajaan organik di ladang itu serta petua-petua kesihatan yang boleh diperolehi  daripada buah-buahan, ulam-ulaman serta pelbagai tanaman di situ.
Ladang seluas 100 ekar ini terdiri daripada 10 spesies tanaman, 100 jenis buah-buahan tropika yang antaranya termasuk Limau Madu, Limau Kasturi, Belimbing Asam, Durian, Nangka, Jambu Air, Ciku, Jambu Madu/Mawar, Rambutan, Pulasan, Cempedak, Kedondong, Papaya, Delima, Pisang, mangga dan banyak lagi.


Antara tarikan lain di Desaru Fruit Farm ialah kolam ikan koi dan mini zoo yang menempatkan kambing-kambing, arnab, ular sawa, kura-kura, burung unta, ayam serama, burung merak, ayam belanda  dan lain-lain.












Selesai lawatan di ladang, kami berkumpul di sebuah dewan di mana kami diberikan taklimat mengenai pengurusan lebah yang dilakukan di ladang tersebut. Kami juga berpeluang merasai madu segar di situ. Ramai juga di antara kami yang membeli madu yang dijual di situ.
 







 Kami kemudiannya diraikan di majlis makan tengah hari. Lebih 50 peratus hidangannya terdiri daripada pelbagai jenis buah-buahan termasuklah durian. Pisang dan sukun yang digoreng panas-panas turut dihidangkan. Minuman yang dihidangkan juga diperbuat daripada buah-buahan yang di tanam di situ. Masing-masing puas menjamu selera dan kekenyangan, bagaikan malas meninggalkan tempat duduk terutamanya hujan masih renyai-renyai di luar, justeru bersantai menikmati nyanyian rakan-rakan yang berkaraoke.

Sebelum bertolak ke destinasi seterusnya, kami membeli-belah di kedai cenderahati di situ. Ada yang membeli buah-buahan segar, t-shirt, jeruk dan sebagainya.
Desaru Fruit Farm
-          Dibuka sejak 1990
-          Terletak Sungai Cemaran, di sepanjang jalan utama Desaru
-          Dari Johor Bahru - gunakan jalan utama Johor Bahru-Kota Tinggi (45km)
-          Dari Lebuhraya Utara - Selatan - keluar di persimpangan Pasir Gudang atau Kulai
-          Dari Mersing -  gunakan jalan utama Mersing - Kota Tinggi
-          Dari Kota Tinggi ke Desaru Fruit Faram - 39 km.
-          Ladang ini dibuka setiap hari  dari 8pagi - 6ptg.
-          Maklumat lanjut, hubungi tel: 07–822 5886, 822 3886 dan 822 8017 or Faks: 07–822 4886. Emel: sales@desaruff.com. atau layari laman sesawang: www.desaruff.com