Terkenang waktu kecil ketika di kampung
Villa
Sentosa - akhirnya sampai juga hasrat untuk menjenguk ke rumah tradisional
tersebut yang sudah terkenal sebagai The Malay Living Museum tu.
Villa Sentosa, Kampung Morten. |
Mengenali salah seorang cucu tuan punya
villa tersebut, memberikan kelebihan untuk berada di situ berjam-jam lamanya
tanpa rasa kekok. Kedatangan kami di sambut mesra oleh Haji Ibrahim Hashim dan
Embok Mah (Mak Cik Mah). Haji Ibrahim yang dahulunya bertugas sebagai veterinarian,
kini saban hari melayani para pelancong yang berkunjung ke Villa Sentosa.
Manakala Mak Cik Mah sememangnya tinggal dan menjaga villa berkenaan.
Kemesraan itu bukan saja kerana kami
mengenali dua beradik tersebut, tetapi begitu jugalah mereka menyambut para
pengunjung lain. Haji Ibrahim akan membawa para pengunjung ke setiap pelusuk
villa berkenaan sambil menceritakan susur-galur keluarganya, seni bina villa
berkenaan serta mengenai bahan-bahan pameran di situ.
Haji Ibrahim memberi penerangan kepada para pelancong. |
Anjung Villa Sentosa |
Walaupun kumpulan para pelancong
silih-berganti, saya yang sudah kira-kira empat jam berada di situ, tidak
puas-puas menjengok ke setiap sudut rumah berkenaan, membelek pelbagai
peralatan lama yang dipamerkan. Sehinggakan ada ketikanya, fikiran saya hanyut
ke zaman ketika masih kanak-kanak dulu terutamanya waktu-waktu bersama emak
atau nenek (arwah) ketika menjelang hari
raya.
Seterika, acuan kuih muih dan barangan warisan. |
Melihatkan seterika arang, acuan kuih-muih tradisional,
pemukul telur, barangan tembaga, kukur
kelapa, hampir segalanya membuatkan saya rindu ke zaman silam. Sudah
lama tidak mengukur kelapa dan telah
berpuluh tahun tidak ‘membantu’ (sebenarnya menganggu) emak menyediakan kuih
baulu menjelang musim perayaan. Kini segalanya mudah, kelapa parut dan santan
dibeli di pasar, kuih baulu dibeli daripada jiran yang memang tauke baulu.
Gong berusia lebih 200 tahun, peti barang dan peralatan lain. |
Memang banyak barang pameran di Villa
Sentosa, antaranya berusia antara 100 hingga 200 tahun tersimpan di rumah yang
kini telah berusia lebih 90 tahun itu. Di suatu ruang, terdapat satu gong yang
tergantung berusia lebih 200 tahun, himpunan piring hitam tahun 1950an,
al-Quran dan almari antik berusia lebih
100 tahun, kamus Inggeris-Arab terbitan tahun 1926 dan pelbagai tembikar.
Set teko dan cawan warisan keluarga. |
Terdapat juga himpunan pinggan mangkuk
berusia lebih 100 tahun dari England, China, Itali dan Perancis. Ada yang tersimpan di dalam almari cermin, dan
ada pula yang tersusun kemas di atas meja yang dipamerkan. Selain pelamin,
terdapat juga koleksi pakaian tradisional pengantin berusia lebih 20 tahun dan
bilik pengantin tradisional yang telah digunakan sebanyak lebih 20 kali oleh
waris-waris keluarga itu.
Katil bujang. |
Pelancong mengambil peluang 'bersanding; di pelamin. |
Pakaian pengantin. |
Mak cik Mah sedang menggantikan kelambu katil pengantin, |
Selain bahan-bahan pameran, rekabentuk
rumah tersebut juga sangat menarik. Ia mempunyai reka bentuk rumah unik serta
menghimpunkan pelbagai sejarah berusia lebih suku abad lalu.
Villa Sentosa adalah
sebuah rumah yang terletak di Kampung Morten, satu-satunya kampung Melayu yang
terletak di tengah-tengah bandar Melaka. Dibina pada suku pertama abad ke-20
dengan gaya reka bentuk sezaman, rumah itu kemudian dijadikan sebuah muzium
persendirian oleh pemiliknya, Tuan Hj. Hashim bin Dato Demang Hj. Abdul Ghani.
Rumah
itu diubah suai menjadi muzium peribadi bagi menampilkan sembilan generasi
keluarga itu. Villa Sentosa mula dibuka untuk pameran pada Disember 1991.
Para pengunjung bukan saja sekadar
mendengar penerangan Haji Ibrahim malah boleh bertanya terus sekiranya mahukan lebih
maklumat mengenai keluarga ataupun villa tersebut. Ini kerana Haji Ibrahim memang
seorang yang peramah dan mesra serta berpengetahuan mengenai susur-galur
keluarganya serta latar belakang bahan pameran yang pelbagai milik keluarganya di
villa tersebut. Para pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran, bagaimanapun
mereka boleh memberi sumbangan sebagai usaha membantu keluarga ini untuk
menampung keperluan memulihara dan menguruskan villa tersebut.
Katil di bilik pengantin. |
Kampung Morten merupakan sebuah
kampung tradisional Melayu yg lokasinya menghadap betul2 Sungai Melaka. Kira-kira
100 buah rumah tradisional lama terdapat di kampung ini dan dipelihara dengan
baik.
Haji Ibrahim melayan para pelancong. |
Perkampungan yang wujud sejak tahun 1920-an itu diberikan nama Kg. Morten
sempena mengambil nama J.F Morten iaitu salah seorang pengawai tanah British di
Melaka pada zaman dahulu yang mencari kawasan sesuai untuk penempatan penduduk
yang dipindahkan dari Kampung Jawa oleh
kerajaan jajahan British.
Puas mendengar pelbagai cerita dari Haji Ibrahim, saya duduk bersantai di tangga rumag tersebut, sambil memerhatikan bot-bot River Cruise yang menelusuri Sungai Melaka, yang mana terletak di hadapan rumah dan kampung tersebut.
Perkhidmatan River Cruise menelusuri Sungai Melaka boleh dilihat dari Villa Sentosa. |
Sambil menikmati ketenangan di situ,
sambil memerhatikan para pengunjung yang silih berganti, saya terperasan,
kebanyakan yang mengunjungi Villa Sentosa terdiri daripada pelancong asing.
Apakah pelancong tempatan tidak berminat? Atau mereka merasakan, Villa Sentosa tidak cukup menarik untuk lawatan keluarga? Hakikatnya, banyak yang boleh dipelajari dan diketahui oleh anak-anak generasi kini di Villa Sentosa.
Apakah pelancong tempatan tidak berminat? Atau mereka merasakan, Villa Sentosa tidak cukup menarik untuk lawatan keluarga? Hakikatnya, banyak yang boleh dipelajari dan diketahui oleh anak-anak generasi kini di Villa Sentosa.
Jika River Cruise dan Menara Taming Sari
serta beberapa destinasi lain yang mengenakan bayaran itu mampu dikunjungi,
kenapa tidak anda kunjungi Villa Sentosa?