Showing posts with label warisan. Show all posts
Showing posts with label warisan. Show all posts

Tuesday 4 February 2014

VILLA SENTOSA - DESTINASI MENARIK



Terkenang waktu kecil ketika di kampung
Villa Sentosa - akhirnya sampai juga hasrat untuk menjenguk ke rumah tradisional tersebut yang sudah terkenal sebagai The Malay Living Museum tu.
Villa Sentosa, Kampung Morten.
Sudah banyak saya dengar mengenai Villa Sentosa yang terletak di Kampung Morten, Melaka dan sudah bertahun-tahun ingin mengunjunginya.

          Mengenali salah seorang cucu tuan punya villa tersebut, memberikan kelebihan untuk berada di situ berjam-jam lamanya tanpa rasa kekok. Kedatangan kami di sambut mesra oleh Haji Ibrahim Hashim dan Embok Mah (Mak Cik Mah). Haji Ibrahim yang dahulunya bertugas sebagai veterinarian, kini saban hari melayani para pelancong yang berkunjung ke Villa Sentosa. Manakala Mak Cik Mah sememangnya tinggal dan menjaga villa berkenaan.
          Kemesraan itu bukan saja kerana kami mengenali dua beradik tersebut, tetapi begitu jugalah mereka menyambut para pengunjung lain. Haji Ibrahim akan membawa para pengunjung ke setiap pelusuk villa berkenaan sambil menceritakan susur-galur keluarganya, seni bina villa berkenaan serta mengenai bahan-bahan pameran di situ.
Haji Ibrahim memberi penerangan kepada para pelancong.
Anjung Villa Sentosa
          Walaupun kumpulan para pelancong silih-berganti, saya yang sudah kira-kira empat jam berada di situ, tidak puas-puas menjengok ke setiap sudut rumah berkenaan, membelek pelbagai peralatan lama yang dipamerkan. Sehinggakan ada ketikanya, fikiran saya hanyut ke zaman ketika masih kanak-kanak dulu terutamanya waktu-waktu bersama emak atau nenek (arwah)  ketika menjelang hari raya.
Seterika, acuan kuih muih dan barangan warisan.

Melihatkan seterika arang, acuan kuih-muih tradisional, pemukul telur, barangan tembaga, kukur kelapa, hampir segalanya membuatkan saya rindu ke zaman silam. Sudah lama tidak mengukur kelapa  dan telah berpuluh tahun tidak ‘membantu’ (sebenarnya menganggu) emak menyediakan kuih baulu menjelang musim perayaan. Kini segalanya mudah, kelapa parut dan santan dibeli di pasar, kuih baulu dibeli daripada jiran yang memang tauke baulu.
Gong berusia lebih 200 tahun,  peti barang dan peralatan lain.
         Memang banyak barang pameran di Villa Sentosa, antaranya berusia antara 100 hingga 200 tahun tersimpan di rumah yang kini telah berusia lebih 90 tahun itu. Di suatu ruang, terdapat satu gong yang tergantung berusia lebih 200 tahun, himpunan piring hitam tahun 1950an, al-Quran dan  almari antik berusia lebih 100 tahun, kamus Inggeris-Arab terbitan tahun 1926 dan pelbagai tembikar.
Set teko dan cawan warisan keluarga.
                                                   Terdapat juga himpunan pinggan mangkuk berusia lebih 100 tahun dari England, China, Itali dan Perancis.  Ada yang tersimpan di dalam almari cermin, dan ada pula yang tersusun kemas di atas meja yang dipamerkan. Selain pelamin, terdapat juga koleksi pakaian tradisional pengantin berusia lebih 20 tahun dan bilik pengantin tradisional yang telah digunakan sebanyak lebih 20 kali oleh waris-waris keluarga itu.
Katil bujang.
Pelancong mengambil peluang 'bersanding; di pelamin.
Pakaian pengantin.

Mak cik Mah sedang menggantikan kelambu katil pengantin,
Selain bahan-bahan pameran, rekabentuk rumah tersebut juga sangat menarik. Ia mempunyai reka bentuk rumah unik serta menghimpunkan pelbagai sejarah berusia lebih suku abad lalu. 
      Villa Sentosa adalah sebuah rumah yang terletak di Kampung Morten, satu-satunya kampung Melayu yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka. Dibina pada suku pertama abad ke-20 dengan gaya reka bentuk sezaman, rumah itu kemudian dijadikan sebuah muzium persendirian oleh pemiliknya, Tuan Hj. Hashim bin Dato Demang Hj. Abdul Ghani. 
    Rumah itu diubah suai menjadi muzium peribadi bagi menampilkan sembilan generasi keluarga itu. Villa Sentosa mula dibuka untuk pameran pada Disember 1991.
Para pengunjung bukan saja sekadar mendengar penerangan Haji Ibrahim malah  boleh bertanya terus sekiranya mahukan lebih maklumat mengenai keluarga ataupun villa tersebut. Ini kerana Haji Ibrahim memang seorang yang peramah dan mesra serta berpengetahuan mengenai susur-galur keluarganya serta latar belakang bahan pameran yang pelbagai milik keluarganya di villa tersebut. Para pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran, bagaimanapun mereka boleh memberi sumbangan sebagai usaha membantu keluarga ini untuk menampung keperluan memulihara dan menguruskan villa tersebut. 

Katil di bilik pengantin.

Kampung Morten merupakan sebuah kampung tradisional Melayu yg lokasinya menghadap betul2 Sungai Melaka. Kira-kira 100 buah rumah tradisional lama terdapat di kampung ini dan dipelihara dengan baik.   
Haji Ibrahim melayan para pelancong.
 Perkampungan yang wujud sejak tahun 1920-an itu diberikan nama Kg. Morten sempena mengambil nama J.F Morten iaitu salah seorang pengawai tanah British di Melaka pada zaman dahulu yang mencari kawasan sesuai untuk penempatan penduduk yang  dipindahkan dari Kampung Jawa oleh kerajaan jajahan British.

 Puas mendengar pelbagai cerita dari Haji Ibrahim, saya duduk bersantai di tangga rumag tersebut, sambil memerhatikan bot-bot River Cruise yang menelusuri Sungai Melaka, yang mana terletak di hadapan rumah dan kampung tersebut. 


Perkhidmatan River Cruise menelusuri Sungai Melaka boleh dilihat dari Villa Sentosa.
Sambil menikmati ketenangan di situ, sambil memerhatikan para pengunjung yang silih berganti, saya terperasan, kebanyakan yang mengunjungi Villa Sentosa terdiri daripada pelancong asing. 

Apakah pelancong tempatan tidak berminat? Atau mereka merasakan, Villa Sentosa tidak cukup menarik untuk lawatan keluarga? Hakikatnya, banyak yang boleh dipelajari dan diketahui oleh anak-anak generasi kini di Villa Sentosa.
          Jika River Cruise dan Menara Taming Sari serta beberapa destinasi lain yang mengenakan bayaran itu mampu dikunjungi, kenapa tidak anda kunjungi Villa Sentosa?

Sunday 19 January 2014

MENYINGKAP RAHSIA LEMBAH LENGGONG



 Penuh Khazanah Prasejarah

Lenggong bukan lagi sekadar sebuah pekan kecil yang menjadi laluan ke Gerik untuk ke Pantai Timur Semenanjung. Lenggong kini sudah wujud di peta dunia.Lembah Lenggong, mula disebut-sebut sejak diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 30 Jun, 2012. Ia adalah satu pengiktirafan yang mengukir nama negara dalam peta arkeologi dan pelancongan dunia. 
Penyenaraian itu menjadikan kawasan berkenaan sebagai tapak Warisan Dunia ke-953 dan Tapak Warisan Dunia keempat di Malaysia selepas bandaraya bersejarah Melaka dan George Town di perairan Selat Melaka, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak dan Taman Kinabalu di Sabah.

Lembah Lenggong terletak di Hulu Perak, kira-kira 80km dari Bandaraya Ipoh. Ia mendapat perhatian masyarakat arkeologi dunia sejak penemuan rangka manusia yang dikenali sebagai Manusia Perak, bengkel pembuatan perkakas zaman batu (Paleolitik) serta pelbagai khazanah purba lain. Penemuan arkeologi di Lembah Lenggong menjadi bukti wujudnya penempatan manusia prasejarah di situ sejak 1.83 juta tahun lalu. Ia juga membuktikan lembah itu pernah menjadi antara peradaban tertua manusia di luar benua Afrika. Penyelidikan yang dijalankan mendapati penempatan zaman prasejarah iaitu Zaman Paleolitik, Zaman Neolitik dan Zaman Logam wujud di Lembah Lenggong.

Tidak cukup sekadar mendengar pelbagai cerita menarik mengenai tapak arkeologi itu, Lembah Lenggong perlu dilawati. Justeru, Lembah Lenggong yang terdiri daripada kawasan hutan dan gua-gua menjadi destinasi saya serta seorang sahabat media. Rasa teruja berbaur takut dan geli bila mengingatkan kemungkinan terdapatnya pacat apabila tiba di tapak-tapak warisan itu kelak. “Apa maknanya jika kawasan hutan dan gua menjadi tapak warisan dunia, kalau tidak ada pacat. Pacat juga sebahagian daripada warisannya,” usik rakan itu. Walaupun bunyinya agak lucu tapi usikan itu logik jika difikirkan. 
Ekskavasi dan penyelidikan yang komprehensif di Lembah Lenggong dilakukan selama 20 tahun bermula 1987. Banyak artifak ditemui termasuk berpuluh-puluh ribu perkakas batu, tembikar dan gangsa di beberapa tapak yang pernah didiami manusia bermula zaman  batu.
 Antara tapak arkeologi yang menjadi tumpuan para pelancong ialah  Galeri Arkeologi Lembah Lenggong di Kota Tampan.  Terletak di pesisiran tasik pada zaman Paleolitik, kesan penurunan paras air dan bekas tasik itu masih kelihatan hingga ke hari ini. Kini Galeri Arkeologi Lembah Lenggong tersergam di kawasan tersebut, gah mempamerkan pelbagai hasil ekskavasi dari tapak-tapak warisan di Lembah Lenggong.
Laluan sempit di dalam salah sebuah gua di Tapak Warisan Lenggong.

Tapak Kota Tampan sebenarnya telah dahulunya ditemui pada tahun 1938 dan 1954, bagaimanapun kedudukan sebenarnya tidak dapat dikenal pasti apabila tapak baru ditemui pada 1987. Ekskavasi di situ telah menemui satu tapak pembuatan perkakas batu dan bukti-bukti kewujudan manusia awal menerusi analisis mitokondrial asid deoksiribonukleik (DNA) kaum Semang beretnik Negrito.

Tapak ekskavasi di Gua Teluk Kelawar.
Penemuan menunjukkan kaum berkenaan berasal daripada sekumpulan manusia yang meninggalkan Afrika kira-kira 80,000 tahun dahulu.dan kemampuan masyarakat pada zaman itu membuat perkakas batu. Antara tapak-tapak arkeologi yang kami lawati ialah Gua Gunung Runtuh, Gua Kajang, Gua Asar, Gua Puteri, Gua Ngaum, Bukit Jawa, Gua Teluk Kelawar, Gua Harimau, Bukit Sapi, Bukit Jawa dan Bukit Bunuh. 

Setiap daripada tapak-tapak tersebut mempunyai kisah dan cerita yang tersendiri. Masing-masing ditemui secara berperingkat-peringkat sepanjang tempoh 20 tahun penyelidikan itu dijalankan. Laluan ke sana terdiri daripada bukit-bukau, kebun getah, dusun buah-buahan, ladang kelapa sawit dan hutan. Kebanyakan gua yang menyimpan khazanah prasejarah di Lembah Lenggong terletak di kawasan Bukit Kepala Gajah.

Laluan ke Gua Gunung Runtuh...semakin hampir, semakin curam dan sukar.
Gua Gunung Runtuh adalah antara tapak arkeologi yang menyimpan kisah paling menarik berikutan penemuan terpenting di situ iaitu rangka manusia lelaki yang dinamakan Manusia Perak, yang ditemui pada 1990. Ia adalah satu-satunya rangka manusia lengkap prasejarah, dilahirkan dengan kecacatan genetic Brachymesophalangia Jenis A2.
Manusia Perak di temui di dalam Gua Gunung Runtuh ini.
Kad Pengenalan khas uyntuk Manusia Perak dipamer di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.
Manusia Perak yang berketinggian 154sm itu ditemui ditanam dalam keadaan kedua-dua kakinya dilipatkan ke dada. Turut ditemui alat-alat batu, cebisan tulang daripada pelbagai spesis haiwan yang telah dibakar serta beribu siput sedut yang dipotong muncung ditaburkan di sekeliling rangka badannya.

Cara pengkebumiannya yang penuh adat menunjukkan beliau mempunyai peranan penting dalam masyarakat purba itu. Ia juga secara langsung menunjukkan masyarakat primitif Lembah Lenggong mempunyai peradaban yang agak maju. Manusia Perak yang hidup kira-kira 10,000 ke 11,000 tahun dahulu itu  dipercayai mati kerana sakit tua pada usia 40 ke 45 tahun, satu usia melebihi purata hayat manusia zaman itu iaitu sekitar 20 ke 30 tahun.

Papan tanda ke Gua Puteri, Gua Asar dan Gua Ngaum.

Gua Kajang, Gua Asar, Gua Puteri dan Gua Ngaum juga terletak dalam kompleks batu kapur Bukit Kepala Gajah. Gua-gua ini lebih kerap di kunjungi para pelancong kerana laluannya lebih mudah dan terdapat  platform kayu untuk laluan yang disediakan oleh Jabatan Warisan Negara. Tapak-tapak warisan lain pula terletak tidak jauh di antara satu dengan lain di Lembah Lenggong.

Pintu masuk ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.
Kehidupan zaman dahulu...salah satu pameran galeri.
Selain maklumat-maklumat mengenai tapak-tapak warisan serta artifak-artifak yang ditemui, turut dipamerkan di galeri ini ialah rangka Manusia Perak, maklumat mengenai  petani awal neolitik, diet manusia prasejarah, pelbagai maklumat mengenai masyarakat orang asli di Hulu Perak dan peralatan yang digunakan untuk Penyelidikan Arkeologi. Tidak ketinggalan, maklumat terperinci proses mengangkat Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Sejarah Dunia. 

Hakikatnya, cara terbaik untuk mengetahui tinggalan prasejarah Lembah Lenggong adalah dengan melawat ke galeri dan tapak-tapak bersejarah yang dibuka kepada pelawat. Sukar menceritakan secara terperinci mengenainya.
Hari & Masa Lawatan Galeri Arkeologi Lembah Lenggong
Isnin – Ahad : 9.00 pagi – 5.00 ptg
Jumaat : 9.00 pagi – 12.00 tengahari, 3.00 ptg. – 5.00 ptg
Masuk adalah Percuma