Percutian Indah Penuh Keceriaan
SuperStar Libra…itulah destinasi kami. Destinasi
selepas itu sudah tidak menjadi persoalan lagi. Apa yang pasti, kapal pesiaran
SuperStar Libra sedang “menunggu” kedatangan kami di Port Swettenham, Pulau
Pinang.
Perjalanan dari Kuala Lumpur yang memakan masa
kira-kira 5 jam tidak dirasai, kami masing-masing tidak sabar-sabar lagi untuk
menaiki kapal persiaran SuperStar Libra. Walaupun hakikatnya kami sedang
bekerja, peluang seumpama ini pasti sedikit sebanyak memberi ruang kepada mata,
telinga dan minda kami untuk menikmati detik-detik percutian sepertimana para
pelancong lain di atas kapal tersebut.
Sebelum melangkah masuk ke kapal, pasport kami
ditukarkan dengan kad akses yang akan digunakan untuk pelbagai urusan jual beli
ketika berada di SuperStar Libra, termasuk sebagai kad akses ke bilik
masing-masing. Sebarang bayaran hanya perlu dibuat sekali iaitu ketika hendak
meninggalkan kapal setelah mengakhiri pelayaran. Melangkah masuk, saya sempat mencuri pandang
ke sekeliling. Cukup sekadar sekilas pandang, terlintas di fikiran, “Kakitangannya
mesra belaka, urusan dilakukan dengan begitu teratur dan keseluruhan kawasannya
kelihatan sangat bersih.”
Tanggapan pertama amat penting, justeru, saya sudah
mula berasa selesa. Saya terus ke bilik sebelum menyertai taklimat khas kepada
para wartawan serta ajen-ejen pelancongan yang menyertai pelayaran tersebut.
“Makanan halal bukanlah masalah, ” adalah antara
maklumat yang amat menarik perhatian saya, selain maklumat-maklumat lain
mengenai jenis-jenis bilik serta pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan ketika
berada di pusat peranginan terapung eksklusif itu. Kami pulang ke bilik
masing-masing untuk menyegarkan badan sebelum menyertai para tetamu lain di
majlis Jamuan BBQ di Pool Deck. Selesai menjamu selera kami terus ke Stardust
untuk melihat persembahan para penghiburnya, yang bukan saja menghiburkan malah
mengujakan. Nyanyian, tarian dan lawak jenaka - tidak kering gusi para tetamu.
Keesokkan harinya, awal-awal lagi kami ke Pool Deck
untuk melihat matahari terbit. Angin pada pagi itu agak kencang namun, cuacanya
amat menyenangkan. Selesai sarapan di Mariners Buffet, kami menyertai para
tetamu lain melakukan aktiviti pagi yang merangkumi senam pagi dan beberapa
permainan berkumpulan (telematch).
Ada yang lucu, tidak kurang pula yang mencabar.
Masa dirasakan pantas berlalu. Kami tiba di Phuket.
Kami menaiki bas yang sedia menunggu. Pemandu pelancongnya, seorang warga tempatan yang berbahasa Inggeris
membuatkan kami rasa amat selesa. Sesuai dengan tugasnya, dia amat peramah dan
mampu menjawab pelbagai soalan daripada kumpulan kami. Antara tempat-tempat
yang kami lawati termasuk Sri Burapa Cashew Nut Factory. Di sini kami sempat
merasa dan membeli-belah biji gajus yang bermacam-macam perisa termasuk cili,
coklat, tom yam, bawang putih dan banyak lagi. Tempat kunjungan seterusnya
ialah Wang Talang yang menjual pelbagai jenis cenderamata, barang kemas dan
sutera, Pornthip Sea Store yang menjual pelbagai jenis produk buah-buahan dan
makanan laut kering dan Central Festival Village yang menawarkan pelbagai
fesyen masa kini serta peralatan-peralatan teknologi maklumat. Sebelum kembali
ke kapal, kami sempat berjalan-jalan sambil membeli belah di kedai-kedai berhampiran
Pantai Patong.
Kembali ke kapal, ada di antara kami yang terus ke
bilik mandi dan menyalin pakaian sebelum menikmati pelbagai persembahan yang
disediakan di pusat-pusat hiburan di SuperStar Libra. Bagaimanapun ada beberapa
rakan yang hanya berehat di bilik kerana keletihan. Lewat malam, kebanyakan
kami tidak melepaskan peluang berkumpul semula untuk menimati hidangan lewat
malam sambil berkongsi pelbagai cerita.
Keesokan harinya, masing-masing siap menikmati sarapan
pagi sebelum jam 9.30 pagi. Ini kerana kami akan menaiki bot ke Krabi. Tiba di
jeti Krabi, bas persiaran sudah sedia menunggu. Destinasi pertama di Krabi
ialah ke Thanbok Khoranee Botanical
Gardens. Kehijauan hutan dan air sungai yang mengalir di situ amat mendamaikan.
Kami kemudiannya di bawa untuk makan tengah hari sebelum ke sebuah masjid untuk menunaikan solat zohor, manakala rakan-rakan lain di bawa
membeli-belah di sebuah kedai tradisional berhampiran. Kami kemudiannya pergi membeli-
belah di Krabi, ada di antara kami yang mengambil kesempatan untuk menikmati
perkhidmatan urut tradisional. Kami juga sempat mencuba beberapa jenis makanan
tradisional di sana.
Balik ke kapal, masing-masing bergegas untuk
bersiap sedia menghadir Gala Dinner yang gilang-gemilang. Sebelum itu kami
sempat melawat kawasan dapur yang mana diketuai oleh Chef Saifol Ikhsan. Beliau
memberi jaminan bahawa para penumpang Islam tidak harus curiga mengenai makanan
mereka ketika bercuti di atas kapal pesiaran itu.
Pada hari terakhir, kelihatan masih ramai lagi yang
melakukan aktiviti-aktiviti bersama-sama kakitangan kapal sebelum bersiap sedia
untuk pulang. Apabila SuperStar Libra berlabuh di Port Swettenham pada
tengahari itu, kakitangan kapal berbaris
untuk mengucapkan Selamat Jalan kepada
para tetamu.
Tiga malam, empat hari mungkin dianggap membosankan
jika berada di lautan, tetapi tidak timbul soal bosan jika anda menyertai
pelayaran SuperStar Libra. Malah tempoh
tersebut dirasakan tidak mencukupi, kerana banyak aktiviti yang boleh dilakukan.
NOTA: Mungkin ramai yang menyangkakan, percutian di atas kapal pesiaran memrlukan gaya hidup elit serta berpakaian kemas sentiasa. Tanggapan itu salah. SuperStar Libra memberi kebebasan untuk para penumpangnya berpakaian kasual, sesuai untuk bersantai termasuk ketika makan malam.
NOTA: Mungkin ramai yang menyangkakan, percutian di atas kapal pesiaran memrlukan gaya hidup elit serta berpakaian kemas sentiasa. Tanggapan itu salah. SuperStar Libra memberi kebebasan untuk para penumpangnya berpakaian kasual, sesuai untuk bersantai termasuk ketika makan malam.