Apakah
yang diinginkan ketika percutian di pulau jika bukan pemandangan indah pantai
dan lautannya, keindahan matahari terbit di waktu pagi serta tenggelam di senja
hari?
Bajau Laut |
Pulau
Mabul di Sabah, memang terkenal di kalangan para penyelam skuba. Bagi mereka , pastinya
keindahan dasar lautan di situ yang sudah gah di serata dunia yang ingin
diterokai dan dinikmati. Tetapi, tidak mengecewakan sekiranya anda tidak tahu
menyelam, anda boleh juga snorkeling. Tidak ingin basah? Anda masih boleh
menikmati keindahan dasar laut tanpa perlu snorkeling atau menyelam. Ini boleh
dilakukan jika anda tinggal di homestay-homestay yang terdapat di pulau ini,
umpamanya di The SphereDivers Lodge. Sampai saja, terus terjun ke air…
Telah
banyak kita baca dan lihat melalui media cetak dan elektronik mengenai
keindahan dasar laut Pulau Mabul. Kisah-kisah kanak-kanak Mabul yang ceria juga
turut dimuatkan. Banyak yang dipelajari ketika meluangkan masa selama enam hari
bersama-sama ‘geng’ Telekung Project di pulau itu.
The
Telekung Project bukanlah asing di pulau Mabul, Sabah. Boleh dikatakan keseluruh
penduduk Mabul sudah kenal nama tersebut terutamanya kanak-kanak. Malah apabila
saya memperkenalkan diri sebagai salah seorang sukarelawati Telekung Project,
kanak=kanak ini terus bertanyakan, “Di mana Mama Zila.”
Azila bersama Mabul Kids sebelum Sukaneka |
Mama
Zila yang dimaksudkan ialah Norazila Abdul Aziz, pengasas The Telekung
Project. Kunjungan beliau setiap empat bulan ke pulau tersebut nyata tidak
sia-sia. Ini jelas dapat dilihat apabila saya meluangkan masa dengan
kanak-kanak itu. Mereka sering
menyebut-nyebut nama “Mama Zila”. Sesetengah perlakuan dan perbuatan mereka
juga berdasarkan, “Mama Zila ajar…” atau “Mama Zila kata…” begitu dan begini. Lebih
membanggakan, mereka bertanya, “Ada bawa buku untuk kami tak?”
Di
mata saya dan sesiapa juga yang pertama kali melawat perkampungan nelayan itu,
pastinya merasakan kehidupan penduduk yang terdiri daripada masyarakat beragama
Islam, berketurunan Suluk dan Bajau Laut itu kelihatan amat susah malah
sesetengahnya daif. Tetapi setelah bergaul dan mengenali mereka, nyata
tanggapan saya agak meleset. Jurang kehidupan itu hanya di mata saya. Mereka
senang seadanya, masing-masing punyai rumah, makanan dan mampu menyara hidup
keluarga. Walaupun tinggal di rumah
kecil yang pastinya tidak cukup luas untuk keluarga yang agak besar dan menyara
anak di antara 5 hingga 7 orang, wajah mereka sentiasa jernih dan ceria. Tidak
langsung kelihatan wajah-wajah stres, namun begitu, jelas kelihatan wajah yang
dibakar mentari dan dimakan usia dek
jerih-payah mencari rezeki. Hidangan harian biasanya ikan goreng atau ikan
mentah yang disediakan dengan cara tersendiri, di makan sama ada dengan nasi
atau kanji ubi kayu yang disediakan cara tradisional. Sayuran-sayuran, daging
atau ayam jarang dihidangkan kerana lebih mahal dan terpaksa di’import’ dari
Semporna.
Jika
begitu, kenapa mereka perlu ditolong? Azila memberitahu,Telekung Project
menyedari banyak lagi keperluan penduduk Mabul terutamanya kanak-kanak. “Tidak
cukup sekadar menjalani kehidupan yang sebegitu,” tambah beliau.
Justeru,
setiap lawatan beliau mempunyai tema tertentu
yang sesuai, merangkumi pelbagai aspek. Kali ini, mengenai pendidikan
dan pemuliharaan. Pendidikan dan ilmu dibawa kepada anak-anak Mabul. Bukan saja
buku-buku dan alat tulis untuk membaca dan menulis, malah pendidikan mengenai
penjagaan dan kebersihan diri, cara berpakaian,
keagamaan, adab bergaul, sopan santun dan disiplin.
Sebaik
saja melihat kelibat Azila dan para sukarelawati melintas, ramai kanak-kanak
akan ikut sama bagaikan satu perarakan. Begitulah, berapa kali setiap hari kami
melintas di kampung tersebut. Apatah lagi bila kami membawa bungkusan-bungkusan
untuk diedarkan. Antara barangan yang
diedarkan adalah barang-barang asas penjagaan diri seperti sikat, berus dan
ubat gigi, sabun dan pakaian dalam kanak-kanak yang baru. Selain telekung baru,
telekung terpakai, kopiah dan pakaian-pakaian terpakai juga diedarkan kepada
para penduduk kampung.
Azila mengagihkan Cupcakes kepada kanak-kanak |
Bukan
mudah mengedarkan barangan tersebut, bak kata seorang sukarelawati, “macam main
ragbi.” Bayangkanlah kumpulan kami di kejar ke mana saja kami pergi dan arahan
supaya berbaris dan tidak berebut-berebut tidak diendahkan. Sambil menyampaikan
barangan tersebut, Azila memberi sedikit
sebanyak pengetahuan mengenai penjagaan diri, tatasusila dan menasihatkan agar
mereka bersifat jujur supaya tidak berulang-ulang mengambil pemberian tersebut
kerana masih ramai yang memerlukannya.
Berjalan-jalan
di sekitar kampung, sama ada di waktu pagi, tengah hari, petang atau malam,
pastinya kelihatan ramai kanak-kanak di sana sini. Tidak kurang juga golongan
lelaki dan wanita dewasa yang berkumpul dan berbual-bual. Apakah lagi yang
perlu mereka buat setelah selesai ke laut? Hendak menonton, hanya beberapa buah
rumah saja yang memiliki televisyen dan bekalan letrik hanya ada pada pukul 6
petang hingga 7 pagi.
Teringatkan
kata-kata seorang kenalan di situ, bahawa kebanyakan keluarga mempunyai lima
hingga tujuh orang anak. Terlintas pula difikiran, nampaknya macam jumlah
kanak-kanak lebih ramai daripada dewasa? Bagaimanapun, saya difahamkan terdapat
kira-kira 750 orang kanak-kanak daripada 3,000 penduduk di situ. Sejumlah 250
kanak-kanak yang mempunyai dokmen sah bersekolah di sekolah kerajaan, 80 di
Mabul Kids Education Society Sabah (Mabul Kids) dan selebihnya tidak bersekolah
kerana tidak mempunyai dokumen sah. Jadi wajar, jika kebanyakan mereka sentiasa
kelihatan berkejaran atau bermain di setiap pelosok pulau itu.
Selain
mengedarkan pelbagai barangan keperluan kepada para penduduk di situ, aktiviti
Telekung Project banyak bertumpu kepada Mabul Kids. Mabul Kids
diasaskan oleh
Stanley Sie, yang juga merupakan pengusaha Spheredivers Lodge. Jadi tidak hairanlah, jika kanak-kanak di
sini sering menyebut-nyebut nama Papa Stanley dan Teacher Ali, guru yang
mengajar mereka. Antaranya adalah gotong-royong membersihkan kawasan sekolah
kerajaan, pantai, perkuburan, masjid, aktiviti sukaneka, tahlil dan banyak
lagi. Murid-murid Mabul Kids mengamal sopan santun dan berbudi bahasa dan
selain berbahasa Malaysia, mereka boleh juga sedikit sebanyak berbahasa
Inggeris.
Azila dan Stanley sentiasa dikerumuni kanak-kanak |
Daripada
pengamatan saya, terdapat empat kelompok kanak-kanak dengan perwatakan berbeza
di pulau ini. Mabul kids bukan saja mesra malah mudah diberi tunjuk ajar,
berdisiplin dan akur, kanak-kanak yang
bersekolah kerajaan juga mudah diajak bergaul, manakala kanak-kanak yang tidak
bersekolah walaupun agak mesra namun perlu dibentuk dan didisiplinkan.
Contohnya jelas dapat dilihat ketika kami membahagi-bahagikan barangan
keperluan. Kumpulan lain ialah kanak-kanak Bajau Laut yang tinggal di pelosok
lain pulau tersebut. Mereka tidak mesra dan sekiranya didekati atau dirakam
gambar, mereka mengharapkan habuan. Sekiranya diberikan makan atau wang pada
seorang, yang lain akan menyerbu.
Pulau
Mabul hanya seluas 20 hektar dan seseorang boleh berjalan-jalan melawat keseluruh
kampung di situ dalam tempoh kurang 45 minit, iaitu untuk perjalanan yang
kurang 4 kilometer mengelilinginya. Apa yang pasti, walaupun anda bukan seorang
penyelam, anda juga boleh menikmati keindahan dasar laut dengan aktiviti
snorkeling. Malah keindahan kehidupan perkampungan itu juga punya tarikan yang
tersendiri. Sentiasa ada senyuman dan gelak tawa terutamanya dengan kehadiran
Telekung Project.
No comments:
Post a Comment