Showing posts with label Phuket. Show all posts
Showing posts with label Phuket. Show all posts

Sunday, 19 January 2014

TERKENANGKAN SURIN, Thailand



Menonton program kanak-kanak mengenai zoo, terkenang lawatan ke Surin, Thailand. Lawatan tersebut, atas jemputan Tourism Authority of Thailand  (TAT) banyak memberi pengetahuan mengenai sejarah negara Gajah Putih itu serta pengalaman baru mengenai budaya dan destinasi-destinasi pelancongannya.  
Peserta terdiri daripada manusia dan gajah di Elephant Round-up.

Umum mengetahui, Thailand adalah salah sebuah negara Asia Tenggara yang terkenal dengan keindahan alam semulajadinya. Malah negara jiran ini juga sering dikunjungi oleh mereka yang gemar membeli-belah sakan. Selain Hatyai, Bangkok, Phuket dan Koh Samui yang masing-masing mempunyai daya pemikat tersendiri dan telah diketahui umum di serata dunia, banyak lagi tempat-tempat di Thailand yang boleh anda jadikan destinasi percutian yang pastinya memberikan pengalaman indah yang sukar dilupakan.

Peluang mengunjungi Surin memberikan pengalaman baru yang amat mengujakan.  Surin adalah sebuah bandar dalam wilayah Surin, terletak di timur-laut Thailand.  Surin memang terkenal dengan gajah-gajahnya, justeru itu tidak hairanlah jika ia digelar The land of large elephants dan mamalia ini dijadikan ikon bagi Surin.

Selain itu, Surin juga terkenal dengan beberapa buah kampung yang menjadi pusat tenunan kain sutera, tapak-tapak sejarah Khmer, beras wangi serta keindahan seni budayanya.

Beberapa jam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bangkok dan kemudiannya bertukar penerbangan dari Bangkok ke Ubon Ratchathani, menambahkan keterujaan saya dan empat lagi rakan media untuk mengunjungi pesta tahunan gajah sepertimana yang disebut dalam jemputan kami. Maklumat yang kami perolehi adalah terdapat banyak kesan sejarah yang wujud sejak ribuan tahun lamanya, selain berpeluang melihat hubungan unik antara manusia dengan gajah di Surin.

Persembahan kebudayaan
Setelah tiba di Ubon Ratchathani, kami meneruskan perjalanan ke Surin untuk menonton persembahan Light and Sound di Si Khoraphum Sanctuary, Amphoe Si Khoraphum.  Pertunjukan yang amat mempesonakan, lentuk-liuk, gemalai para penari yang sarat dengan pelbagai barang kemas di padankan dengan pakaian tradisional yang berwarna-warni menambahkan lagi keasyikan persembahan yang menceritakan pelbagai sejarah silam rakyat dan negara itu.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi kami sudah berangkat ke Stadium Si Narong. Setibanya di sana, kami disambut dengan penuh mesra oleh masyarakat di situ yang bukan hanya terdiri daripada manusia malah gajah peliharaan mereka. Perlu diketahui bahawa masyarakat Kui di sini mempunyai hubungan yang sangat unik dengan gajah sehinggakan mereka menganggap gajah sebahagian daripada ahli keluarga.

Setelah beberapa minit memasuki stadium, para penonton mula menumpukan pandangan dan perhatian ke tengah padang yang terbentang di hadapan.  Kelihatan di padang,  ada ‘para peserta’ yang mengambil bahagian dalam acara perbarisan, ada yang tidak henti-henti bermain gelung hulla hoop, ada juga yang bermain “dart” manakala yang lain pula mengambil bahagian dalam perlawanan bola sepak, tarik tali serta bermacam-macam acara. Mereka bukanlah manusia tetapi sekumpulan gajah. Apa yang pasti, gajah-gajah itu sangat terlatih. Demikianlah suasana ketika berlangsungnya acara tahunan Surin Elephant Round-up.
Anak gajah bermain hulla-hoop.

Kisah gajah bermain bola sepak pernah saya dengari dan menontonnya di televisyen. Memang menarik. Tetapi, tidak pernah saya sangkakan bahawa peluang menonton pelbagai persembahan serta perlawanan bola sepak oleh sekumpulan gajah secara langsung adalah lebih menarik, malah amat mengujakan dan mengagumkan.  Malah, lebih menarik daripada menonton sarkas!

Pertunjukkan  pagi itu dimulakan dengan pelbagai tarian kebudayaan oleh sekumpulan penari sebelum bermulanya persembahan oleh gajah-gajah. Ketika berlangsungnya pertunjukan kebudayaan sebagai pembuka majlis, kelihatan beberapa puluh ekor gajah yang terdiri daripada berbagai-bagai peringkat usia berbaris ke tengah padang. Bermula dengan bermacam-macami pergerakan,  masing-masing kemudiannya mula menunjukkan kemahiran masing-masing. ‘Si kecil’  tidak henti-henti bermain gelung hulla hoop dengan belalainya, yang lebih dewasa pula ada yang membaling “dart” untuk memecahkan belon, manakala yang lainnya menunjukkan kebolehan masing-masing. Persembahan-persembahan oleh gajah-gajah tersebut turut disulami pertunjukkan kebudayaan yang amat mengasyikkan oleh para penari serta pertunjukan ceritera sejarah kegemilangan kerajaan Siam pada zaman dahulu.
Bersedia untuk score gol...

Keseluruhannya persembahan tersebut terbahagi kepada beberapa episod  yang antara lainnya merangkumi mitologi mengenai gajah, kisah hubungan rapat antara manusia dengan gajah, aspek-aspek ketuhanan, pemerintahan dan perjuangan mempertahankan bangsa dan negara. Pelbagai reaksi dapat dilihat di kalangan penonton yang hadir sepanjang pertunjukkan yang berlangsung selama dua jam itu. Gelagat gajah-gajah tersebut ada yang melucukan manakala persembahan ceritera pula ada ketikanya amat mencemaskan terutamanya ketika  aksi perperangan. Kira-kira 300 ekor gajah dan kira-kira 2000 orang penari/peserta mengambil bahagian dalam pertunjukan yang berlangsung selama dua hari di Stadium Si Narong itu.
Persembangan mengenai peperangan zaman dulu.
 
Dianjurkan oleh pihak berkuasa wilayah Surin, festival yang meriah serta berwarna-warni itu pertama kali dianjurkan pada 1960. Surin Elephant Round Up adalah acara unik yang diadakan sebagai salah satu usaha untuk mempromosi sektor pelancongan di Surin. Pada ketika itulsh, boleh di katakan keseluruhan gajah di Thailand  berkumpul di Surin. Bukan saja di stadium, malah anda akan dapat melihat gajah di jalan-jalan raya ketika melancong di sekitar wilayah itu.
 

Thursday, 25 July 2013

CUTI-CUTI @ SUPERSTAR LIBRA



Percutian Indah Penuh Keceriaan

 SuperStar Libra…itulah destinasi kami. Destinasi selepas itu sudah tidak menjadi persoalan lagi. Apa yang pasti, kapal pesiaran SuperStar Libra sedang “menunggu” kedatangan kami di Port Swettenham, Pulau Pinang.

Perjalanan dari Kuala Lumpur yang memakan masa kira-kira 5 jam tidak dirasai, kami masing-masing tidak sabar-sabar lagi untuk menaiki kapal persiaran SuperStar Libra. Walaupun hakikatnya kami sedang bekerja, peluang seumpama ini pasti sedikit sebanyak memberi ruang kepada mata, telinga dan minda kami untuk menikmati detik-detik percutian sepertimana para pelancong lain di atas kapal tersebut.

Sebelum melangkah masuk ke kapal, pasport kami ditukarkan dengan kad akses yang akan digunakan untuk pelbagai urusan jual beli ketika berada di SuperStar Libra, termasuk sebagai kad akses ke bilik masing-masing. Sebarang bayaran hanya perlu dibuat sekali iaitu ketika hendak meninggalkan kapal setelah mengakhiri pelayaran.  Melangkah masuk, saya sempat mencuri pandang ke sekeliling. Cukup sekadar sekilas pandang, terlintas di fikiran, “Kakitangannya mesra belaka, urusan dilakukan dengan begitu teratur dan keseluruhan kawasannya kelihatan sangat bersih.”

Tanggapan pertama amat penting, justeru, saya sudah mula berasa selesa. Saya terus ke bilik sebelum menyertai taklimat khas kepada para wartawan serta ajen-ejen pelancongan yang menyertai pelayaran tersebut.  

“Makanan halal bukanlah masalah, ” adalah antara maklumat yang amat menarik perhatian saya, selain maklumat-maklumat lain mengenai jenis-jenis bilik serta pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan ketika berada di pusat peranginan terapung eksklusif itu. Kami pulang ke bilik masing-masing untuk menyegarkan badan sebelum menyertai para tetamu lain di majlis Jamuan BBQ di Pool Deck. Selesai menjamu selera kami terus ke Stardust untuk melihat persembahan para penghiburnya, yang bukan saja menghiburkan malah mengujakan. Nyanyian, tarian dan lawak jenaka - tidak kering gusi para tetamu.

Keesokkan harinya, awal-awal lagi kami ke Pool Deck untuk melihat matahari terbit. Angin pada pagi itu agak kencang namun, cuacanya amat menyenangkan. Selesai sarapan di Mariners Buffet, kami menyertai para tetamu lain melakukan aktiviti pagi yang merangkumi senam pagi dan beberapa permainan berkumpulan (telematch). Ada yang lucu, tidak kurang pula yang mencabar.

Masa dirasakan pantas berlalu. Kami tiba di Phuket. Kami menaiki bas yang sedia menunggu. Pemandu pelancongnya, seorang  warga tempatan yang berbahasa Inggeris membuatkan kami rasa amat selesa. Sesuai dengan tugasnya, dia amat peramah dan mampu menjawab pelbagai soalan daripada kumpulan kami. Antara tempat-tempat yang kami lawati termasuk Sri Burapa Cashew Nut Factory. Di sini kami sempat merasa dan membeli-belah biji gajus yang bermacam-macam perisa termasuk cili, coklat, tom yam, bawang putih dan banyak lagi. Tempat kunjungan seterusnya ialah Wang Talang yang menjual pelbagai jenis cenderamata, barang kemas dan sutera, Pornthip Sea Store yang menjual pelbagai jenis produk buah-buahan dan makanan laut kering dan Central Festival Village yang menawarkan pelbagai fesyen masa kini serta peralatan-peralatan teknologi maklumat. Sebelum kembali ke kapal, kami sempat berjalan-jalan sambil membeli belah di kedai-kedai berhampiran Pantai Patong.

Kembali ke kapal, ada di antara kami yang terus ke bilik mandi dan menyalin pakaian sebelum menikmati pelbagai persembahan yang disediakan di pusat-pusat hiburan di SuperStar Libra. Bagaimanapun ada beberapa rakan yang hanya berehat di bilik kerana keletihan. Lewat malam, kebanyakan kami tidak melepaskan peluang berkumpul semula untuk menimati hidangan lewat malam sambil berkongsi pelbagai cerita.

Keesokan harinya, masing-masing siap menikmati sarapan pagi sebelum jam 9.30 pagi. Ini kerana kami akan menaiki bot ke Krabi. Tiba di jeti Krabi, bas persiaran sudah sedia menunggu. Destinasi pertama di Krabi ialah ke Thanbok Khoranee  Botanical Gardens. Kehijauan hutan dan air sungai yang mengalir di situ amat mendamaikan. Kami kemudiannya di bawa untuk makan tengah hari sebelum ke sebuah masjid  untuk menunaikan solat  zohor, manakala rakan-rakan lain di bawa membeli-belah di sebuah kedai tradisional berhampiran. Kami kemudiannya pergi membeli- belah di Krabi, ada di antara kami yang mengambil kesempatan untuk menikmati perkhidmatan urut tradisional. Kami juga sempat mencuba beberapa jenis makanan tradisional di sana.

Balik ke kapal, masing-masing bergegas untuk bersiap sedia menghadir Gala Dinner yang gilang-gemilang. Sebelum itu kami sempat melawat kawasan dapur yang mana diketuai oleh Chef Saifol Ikhsan. Beliau memberi jaminan bahawa para penumpang Islam tidak harus curiga mengenai makanan mereka ketika bercuti di atas kapal pesiaran itu. 

Pada hari terakhir, kelihatan masih ramai lagi yang melakukan aktiviti-aktiviti bersama-sama kakitangan kapal sebelum bersiap sedia untuk pulang. Apabila SuperStar Libra berlabuh di Port Swettenham pada tengahari  itu, kakitangan kapal berbaris untuk mengucapkan Selamat Jalan kepada  para tetamu.

Tiga malam, empat hari mungkin dianggap membosankan jika berada di lautan, tetapi tidak timbul soal bosan jika anda menyertai pelayaran SuperStar Libra. Malah  tempoh tersebut dirasakan tidak mencukupi, kerana banyak aktiviti yang boleh dilakukan.
NOTA: Mungkin ramai yang menyangkakan, percutian di atas kapal pesiaran memrlukan gaya hidup elit serta berpakaian kemas sentiasa. Tanggapan itu salah. SuperStar Libra memberi kebebasan untuk para penumpangnya berpakaian kasual, sesuai untuk bersantai termasuk ketika makan malam.