Showing posts with label bercuti. Show all posts
Showing posts with label bercuti. Show all posts

Thursday, 25 July 2013

CUTI-CUTI @ SUPERSTAR LIBRA



Percutian Indah Penuh Keceriaan

 SuperStar Libra…itulah destinasi kami. Destinasi selepas itu sudah tidak menjadi persoalan lagi. Apa yang pasti, kapal pesiaran SuperStar Libra sedang “menunggu” kedatangan kami di Port Swettenham, Pulau Pinang.

Perjalanan dari Kuala Lumpur yang memakan masa kira-kira 5 jam tidak dirasai, kami masing-masing tidak sabar-sabar lagi untuk menaiki kapal persiaran SuperStar Libra. Walaupun hakikatnya kami sedang bekerja, peluang seumpama ini pasti sedikit sebanyak memberi ruang kepada mata, telinga dan minda kami untuk menikmati detik-detik percutian sepertimana para pelancong lain di atas kapal tersebut.

Sebelum melangkah masuk ke kapal, pasport kami ditukarkan dengan kad akses yang akan digunakan untuk pelbagai urusan jual beli ketika berada di SuperStar Libra, termasuk sebagai kad akses ke bilik masing-masing. Sebarang bayaran hanya perlu dibuat sekali iaitu ketika hendak meninggalkan kapal setelah mengakhiri pelayaran.  Melangkah masuk, saya sempat mencuri pandang ke sekeliling. Cukup sekadar sekilas pandang, terlintas di fikiran, “Kakitangannya mesra belaka, urusan dilakukan dengan begitu teratur dan keseluruhan kawasannya kelihatan sangat bersih.”

Tanggapan pertama amat penting, justeru, saya sudah mula berasa selesa. Saya terus ke bilik sebelum menyertai taklimat khas kepada para wartawan serta ajen-ejen pelancongan yang menyertai pelayaran tersebut.  

“Makanan halal bukanlah masalah, ” adalah antara maklumat yang amat menarik perhatian saya, selain maklumat-maklumat lain mengenai jenis-jenis bilik serta pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan ketika berada di pusat peranginan terapung eksklusif itu. Kami pulang ke bilik masing-masing untuk menyegarkan badan sebelum menyertai para tetamu lain di majlis Jamuan BBQ di Pool Deck. Selesai menjamu selera kami terus ke Stardust untuk melihat persembahan para penghiburnya, yang bukan saja menghiburkan malah mengujakan. Nyanyian, tarian dan lawak jenaka - tidak kering gusi para tetamu.

Keesokkan harinya, awal-awal lagi kami ke Pool Deck untuk melihat matahari terbit. Angin pada pagi itu agak kencang namun, cuacanya amat menyenangkan. Selesai sarapan di Mariners Buffet, kami menyertai para tetamu lain melakukan aktiviti pagi yang merangkumi senam pagi dan beberapa permainan berkumpulan (telematch). Ada yang lucu, tidak kurang pula yang mencabar.

Masa dirasakan pantas berlalu. Kami tiba di Phuket. Kami menaiki bas yang sedia menunggu. Pemandu pelancongnya, seorang  warga tempatan yang berbahasa Inggeris membuatkan kami rasa amat selesa. Sesuai dengan tugasnya, dia amat peramah dan mampu menjawab pelbagai soalan daripada kumpulan kami. Antara tempat-tempat yang kami lawati termasuk Sri Burapa Cashew Nut Factory. Di sini kami sempat merasa dan membeli-belah biji gajus yang bermacam-macam perisa termasuk cili, coklat, tom yam, bawang putih dan banyak lagi. Tempat kunjungan seterusnya ialah Wang Talang yang menjual pelbagai jenis cenderamata, barang kemas dan sutera, Pornthip Sea Store yang menjual pelbagai jenis produk buah-buahan dan makanan laut kering dan Central Festival Village yang menawarkan pelbagai fesyen masa kini serta peralatan-peralatan teknologi maklumat. Sebelum kembali ke kapal, kami sempat berjalan-jalan sambil membeli belah di kedai-kedai berhampiran Pantai Patong.

Kembali ke kapal, ada di antara kami yang terus ke bilik mandi dan menyalin pakaian sebelum menikmati pelbagai persembahan yang disediakan di pusat-pusat hiburan di SuperStar Libra. Bagaimanapun ada beberapa rakan yang hanya berehat di bilik kerana keletihan. Lewat malam, kebanyakan kami tidak melepaskan peluang berkumpul semula untuk menimati hidangan lewat malam sambil berkongsi pelbagai cerita.

Keesokan harinya, masing-masing siap menikmati sarapan pagi sebelum jam 9.30 pagi. Ini kerana kami akan menaiki bot ke Krabi. Tiba di jeti Krabi, bas persiaran sudah sedia menunggu. Destinasi pertama di Krabi ialah ke Thanbok Khoranee  Botanical Gardens. Kehijauan hutan dan air sungai yang mengalir di situ amat mendamaikan. Kami kemudiannya di bawa untuk makan tengah hari sebelum ke sebuah masjid  untuk menunaikan solat  zohor, manakala rakan-rakan lain di bawa membeli-belah di sebuah kedai tradisional berhampiran. Kami kemudiannya pergi membeli- belah di Krabi, ada di antara kami yang mengambil kesempatan untuk menikmati perkhidmatan urut tradisional. Kami juga sempat mencuba beberapa jenis makanan tradisional di sana.

Balik ke kapal, masing-masing bergegas untuk bersiap sedia menghadir Gala Dinner yang gilang-gemilang. Sebelum itu kami sempat melawat kawasan dapur yang mana diketuai oleh Chef Saifol Ikhsan. Beliau memberi jaminan bahawa para penumpang Islam tidak harus curiga mengenai makanan mereka ketika bercuti di atas kapal pesiaran itu. 

Pada hari terakhir, kelihatan masih ramai lagi yang melakukan aktiviti-aktiviti bersama-sama kakitangan kapal sebelum bersiap sedia untuk pulang. Apabila SuperStar Libra berlabuh di Port Swettenham pada tengahari  itu, kakitangan kapal berbaris untuk mengucapkan Selamat Jalan kepada  para tetamu.

Tiga malam, empat hari mungkin dianggap membosankan jika berada di lautan, tetapi tidak timbul soal bosan jika anda menyertai pelayaran SuperStar Libra. Malah  tempoh tersebut dirasakan tidak mencukupi, kerana banyak aktiviti yang boleh dilakukan.
NOTA: Mungkin ramai yang menyangkakan, percutian di atas kapal pesiaran memrlukan gaya hidup elit serta berpakaian kemas sentiasa. Tanggapan itu salah. SuperStar Libra memberi kebebasan untuk para penumpangnya berpakaian kasual, sesuai untuk bersantai termasuk ketika makan malam.