Menonton
program kanak-kanak mengenai zoo, terkenang lawatan ke Surin, Thailand. Lawatan
tersebut, atas jemputan Tourism Authority of Thailand (TAT) banyak memberi pengetahuan mengenai sejarah
negara Gajah Putih itu serta pengalaman baru mengenai budaya dan destinasi-destinasi
pelancongannya.
Peserta terdiri daripada manusia dan gajah di Elephant Round-up. |
Umum
mengetahui, Thailand adalah salah sebuah negara Asia Tenggara yang terkenal
dengan keindahan alam semulajadinya. Malah negara jiran ini juga sering
dikunjungi oleh mereka yang gemar membeli-belah sakan. Selain Hatyai, Bangkok,
Phuket dan Koh Samui yang masing-masing mempunyai daya pemikat tersendiri dan
telah diketahui umum di serata dunia, banyak lagi tempat-tempat di Thailand
yang boleh anda jadikan destinasi percutian yang pastinya memberikan pengalaman
indah yang sukar dilupakan.
Peluang
mengunjungi Surin memberikan pengalaman baru yang amat mengujakan. Surin adalah sebuah bandar dalam wilayah
Surin, terletak di timur-laut Thailand.
Surin memang terkenal dengan gajah-gajahnya, justeru itu tidak hairanlah
jika ia digelar The land of large
elephants dan mamalia ini dijadikan ikon bagi Surin.
Selain
itu, Surin juga terkenal dengan beberapa buah kampung yang menjadi pusat
tenunan kain sutera, tapak-tapak sejarah Khmer, beras wangi serta keindahan seni
budayanya.
Beberapa
jam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bangkok dan kemudiannya bertukar penerbangan
dari Bangkok ke Ubon Ratchathani, menambahkan keterujaan saya dan empat lagi
rakan media untuk mengunjungi pesta tahunan gajah sepertimana yang disebut
dalam jemputan kami. Maklumat yang kami perolehi adalah terdapat banyak kesan
sejarah yang wujud sejak ribuan tahun lamanya, selain berpeluang melihat
hubungan unik antara manusia dengan gajah di Surin.
Persembahan kebudayaan |
Setelah
tiba di Ubon Ratchathani, kami meneruskan perjalanan ke Surin untuk menonton
persembahan Light and Sound di Si Khoraphum Sanctuary, Amphoe Si Khoraphum. Pertunjukan yang amat mempesonakan, lentuk-liuk,
gemalai para penari yang sarat dengan pelbagai barang kemas di padankan dengan
pakaian tradisional yang berwarna-warni menambahkan lagi keasyikan persembahan
yang menceritakan pelbagai sejarah silam rakyat dan negara itu.
Keesokan
harinya, pagi-pagi lagi kami sudah berangkat ke Stadium Si Narong. Setibanya di
sana, kami disambut dengan penuh mesra oleh masyarakat di situ yang bukan hanya
terdiri daripada manusia malah gajah peliharaan mereka. Perlu diketahui bahawa
masyarakat Kui di sini mempunyai hubungan yang sangat unik dengan gajah
sehinggakan mereka menganggap gajah sebahagian daripada ahli keluarga.
Setelah
beberapa minit memasuki stadium, para penonton mula menumpukan pandangan dan
perhatian ke tengah padang yang terbentang di hadapan. Kelihatan
di padang, ada ‘para peserta’ yang mengambil
bahagian dalam acara perbarisan, ada yang tidak henti-henti bermain gelung hulla
hoop, ada juga yang bermain “dart” manakala yang lain pula mengambil bahagian
dalam perlawanan bola sepak, tarik tali serta bermacam-macam acara. Mereka
bukanlah manusia tetapi sekumpulan gajah. Apa yang pasti, gajah-gajah itu
sangat terlatih. Demikianlah suasana ketika berlangsungnya acara tahunan Surin
Elephant Round-up.
Anak gajah bermain hulla-hoop. |
Kisah
gajah bermain bola sepak pernah saya dengari dan menontonnya di televisyen.
Memang menarik. Tetapi, tidak pernah saya sangkakan bahawa peluang menonton
pelbagai persembahan serta perlawanan bola sepak oleh sekumpulan gajah secara
langsung adalah lebih menarik, malah amat mengujakan dan mengagumkan. Malah, lebih menarik daripada menonton
sarkas!
Pertunjukkan pagi itu dimulakan dengan pelbagai tarian
kebudayaan oleh sekumpulan penari sebelum bermulanya persembahan oleh
gajah-gajah. Ketika berlangsungnya pertunjukan kebudayaan sebagai pembuka
majlis, kelihatan beberapa puluh ekor gajah yang terdiri daripada
berbagai-bagai peringkat usia berbaris ke tengah padang. Bermula dengan bermacam-macami
pergerakan, masing-masing kemudiannya
mula menunjukkan kemahiran masing-masing. ‘Si kecil’ tidak henti-henti bermain gelung hulla hoop
dengan belalainya, yang lebih dewasa pula ada yang membaling “dart” untuk
memecahkan belon, manakala yang lainnya menunjukkan kebolehan masing-masing. Persembahan-persembahan
oleh gajah-gajah tersebut turut disulami pertunjukkan kebudayaan yang amat
mengasyikkan oleh para penari serta pertunjukan ceritera sejarah kegemilangan kerajaan
Siam pada zaman dahulu.
Bersedia untuk score gol... |
Keseluruhannya
persembahan tersebut terbahagi kepada beberapa episod yang antara lainnya merangkumi mitologi
mengenai gajah, kisah hubungan rapat antara manusia dengan gajah, aspek-aspek
ketuhanan, pemerintahan dan perjuangan mempertahankan bangsa dan negara. Pelbagai
reaksi dapat dilihat di kalangan penonton yang hadir sepanjang pertunjukkan
yang berlangsung selama dua jam itu. Gelagat gajah-gajah tersebut ada yang
melucukan manakala persembahan ceritera pula ada ketikanya amat mencemaskan
terutamanya ketika aksi perperangan. Kira-kira 300 ekor gajah dan kira-kira 2000 orang penari/peserta mengambil
bahagian dalam pertunjukan yang berlangsung selama dua hari di Stadium Si Narong
itu.
Persembangan mengenai peperangan zaman dulu. |
Dianjurkan oleh pihak berkuasa wilayah Surin, festival yang meriah serta berwarna-warni itu pertama kali dianjurkan pada 1960. Surin Elephant Round Up adalah acara unik yang diadakan sebagai salah satu usaha untuk mempromosi sektor pelancongan di Surin. Pada ketika itulsh, boleh di katakan keseluruhan gajah di Thailand berkumpul di Surin. Bukan saja di stadium, malah anda akan dapat melihat gajah di jalan-jalan raya ketika melancong di sekitar wilayah itu.
No comments:
Post a Comment