Penuh Khazanah Prasejarah
Lenggong bukan lagi sekadar sebuah pekan kecil yang menjadi laluan ke
Gerik untuk ke Pantai Timur Semenanjung. Lenggong kini sudah wujud di peta
dunia.Lembah Lenggong, mula disebut-sebut sejak diiktiraf sebagai Tapak
Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 30 Jun, 2012. Ia adalah satu pengiktirafan
yang mengukir nama negara dalam peta arkeologi dan pelancongan dunia.
Penyenaraian itu menjadikan kawasan berkenaan sebagai tapak Warisan
Dunia ke-953 dan Tapak Warisan Dunia keempat di Malaysia selepas bandaraya
bersejarah Melaka dan George Town di perairan Selat Melaka, Taman Negara Gunung
Mulu di Sarawak dan Taman Kinabalu di Sabah.
Lembah Lenggong terletak di Hulu Perak, kira-kira
80km dari Bandaraya Ipoh. Ia mendapat perhatian masyarakat arkeologi dunia
sejak penemuan rangka manusia yang dikenali sebagai Manusia Perak, bengkel
pembuatan perkakas zaman batu (Paleolitik) serta pelbagai khazanah purba lain.
Penemuan arkeologi di Lembah Lenggong menjadi bukti wujudnya penempatan manusia
prasejarah di situ sejak 1.83 juta tahun lalu. Ia juga membuktikan lembah itu
pernah menjadi antara peradaban tertua manusia di luar benua Afrika.
Penyelidikan yang dijalankan mendapati penempatan zaman prasejarah iaitu Zaman
Paleolitik, Zaman Neolitik dan Zaman Logam wujud di Lembah Lenggong.
Tidak cukup sekadar mendengar pelbagai cerita menarik mengenai tapak
arkeologi itu, Lembah Lenggong perlu dilawati. Justeru, Lembah Lenggong yang
terdiri daripada kawasan hutan dan gua-gua menjadi destinasi saya serta seorang
sahabat media. Rasa teruja berbaur takut dan geli bila mengingatkan kemungkinan
terdapatnya pacat apabila tiba di tapak-tapak warisan itu kelak. “Apa maknanya
jika kawasan hutan dan gua menjadi tapak warisan dunia, kalau tidak ada pacat.
Pacat juga sebahagian daripada warisannya,” usik rakan itu. Walaupun bunyinya
agak lucu tapi usikan itu logik jika difikirkan.
Ekskavasi dan penyelidikan yang komprehensif di Lembah Lenggong
dilakukan selama 20 tahun bermula 1987. Banyak artifak ditemui termasuk
berpuluh-puluh ribu perkakas batu, tembikar dan gangsa di beberapa tapak yang
pernah didiami manusia bermula zaman batu.
Antara tapak arkeologi yang menjadi tumpuan para
pelancong ialah Galeri Arkeologi Lembah
Lenggong di Kota Tampan. Terletak di pesisiran tasik pada zaman
Paleolitik, kesan penurunan paras air dan bekas tasik itu masih kelihatan
hingga ke hari ini. Kini Galeri Arkeologi Lembah Lenggong tersergam di kawasan
tersebut, gah mempamerkan pelbagai hasil ekskavasi dari tapak-tapak warisan di
Lembah Lenggong.
Laluan sempit di dalam salah sebuah gua di Tapak Warisan Lenggong. |
Tapak Kota Tampan sebenarnya telah dahulunya
ditemui pada tahun 1938 dan 1954, bagaimanapun kedudukan sebenarnya tidak dapat
dikenal pasti apabila tapak baru ditemui pada 1987. Ekskavasi di situ telah
menemui satu tapak pembuatan perkakas batu dan bukti-bukti kewujudan manusia
awal menerusi analisis mitokondrial asid deoksiribonukleik (DNA) kaum Semang
beretnik Negrito.
Tapak ekskavasi di Gua Teluk Kelawar. |
Penemuan menunjukkan kaum berkenaan berasal
daripada sekumpulan manusia yang meninggalkan Afrika kira-kira 80,000 tahun
dahulu.dan kemampuan masyarakat pada zaman itu membuat perkakas batu. Antara tapak-tapak arkeologi yang kami lawati ialah
Gua Gunung Runtuh, Gua Kajang, Gua Asar,
Gua Puteri, Gua Ngaum, Bukit Jawa, Gua Teluk Kelawar, Gua Harimau, Bukit Sapi,
Bukit Jawa dan Bukit Bunuh.
Setiap daripada tapak-tapak tersebut
mempunyai kisah dan cerita yang tersendiri. Masing-masing ditemui secara
berperingkat-peringkat sepanjang tempoh 20 tahun penyelidikan itu dijalankan.
Laluan ke sana terdiri daripada bukit-bukau, kebun getah, dusun buah-buahan,
ladang kelapa sawit dan hutan. Kebanyakan gua yang menyimpan khazanah
prasejarah di Lembah Lenggong terletak di kawasan Bukit Kepala Gajah.
Laluan ke Gua Gunung Runtuh...semakin hampir, semakin curam dan sukar. |
Gua Gunung
Runtuh adalah antara tapak arkeologi yang menyimpan kisah paling menarik
berikutan penemuan terpenting di situ iaitu rangka manusia lelaki yang
dinamakan Manusia Perak, yang ditemui pada 1990. Ia adalah satu-satunya rangka
manusia lengkap prasejarah, dilahirkan dengan kecacatan genetic Brachymesophalangia
Jenis A2.
Manusia Perak di temui di dalam Gua Gunung Runtuh ini. |
Kad Pengenalan khas uyntuk Manusia Perak dipamer di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. |
Manusia Perak yang berketinggian 154sm itu ditemui ditanam dalam keadaan
kedua-dua kakinya dilipatkan ke dada. Turut ditemui alat-alat batu, cebisan
tulang daripada pelbagai spesis haiwan yang telah dibakar serta beribu siput
sedut yang dipotong muncung ditaburkan di sekeliling rangka badannya.
Cara pengkebumiannya yang penuh adat menunjukkan beliau mempunyai peranan
penting dalam masyarakat purba itu. Ia juga secara langsung menunjukkan
masyarakat primitif Lembah Lenggong mempunyai peradaban yang agak
maju. Manusia Perak yang hidup kira-kira 10,000 ke 11,000 tahun dahulu itu dipercayai mati kerana sakit tua pada usia 40
ke 45 tahun, satu usia melebihi purata hayat manusia zaman itu iaitu sekitar 20
ke 30 tahun.
Papan tanda ke Gua Puteri, Gua Asar dan Gua Ngaum. |
Gua Kajang, Gua
Asar, Gua Puteri dan Gua
Ngaum juga terletak dalam kompleks batu kapur Bukit Kepala Gajah. Gua-gua
ini lebih kerap di kunjungi para pelancong kerana laluannya lebih mudah dan
terdapat platform kayu untuk laluan yang
disediakan oleh Jabatan Warisan Negara. Tapak-tapak warisan lain pula terletak
tidak jauh di antara satu dengan lain di Lembah Lenggong.
Pintu masuk ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. |
Kehidupan zaman dahulu...salah satu pameran galeri. |
Selain maklumat-maklumat mengenai tapak-tapak warisan serta artifak-artifak
yang ditemui, turut dipamerkan di galeri ini ialah rangka Manusia Perak,
maklumat mengenai petani awal neolitik,
diet manusia prasejarah, pelbagai maklumat mengenai masyarakat orang asli di
Hulu Perak dan peralatan yang digunakan untuk Penyelidikan Arkeologi. Tidak
ketinggalan, maklumat terperinci proses mengangkat Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Sejarah Dunia.
Hakikatnya, cara terbaik untuk mengetahui tinggalan prasejarah Lembah
Lenggong adalah dengan melawat ke galeri dan tapak-tapak bersejarah yang dibuka
kepada pelawat. Sukar menceritakan secara terperinci mengenainya.
Hari & Masa Lawatan Galeri Arkeologi Lembah
Lenggong
Isnin – Ahad : 9.00 pagi – 5.00 ptg
Jumaat : 9.00 pagi – 12.00 tengahari, 3.00 ptg. – 5.00 ptg
Jumaat : 9.00 pagi – 12.00 tengahari, 3.00 ptg. – 5.00 ptg
Masuk adalah Percuma
No comments:
Post a Comment