Sunday, 25 August 2013

JANGAN SKIP SARAPAN...

 Mengapakah sarapan penting untuk kita?
Walaupun telah sering kita dengar bahawa sarapan adalah hidangan paling penting sebelum memulakan kehidupan seharian, masih ramai di antara kita yang tidak mempedulikan hakikat itu. Ini bukan saja berlaku di kalangan kanak-kanak malah golongan dewasa dan remaja.
 
Kelewatan, tidak selera, tidak lapar atau apa juga alasan, hakikatnya sarapan amat penting untuk memberikan tenaga. Selain itu, banyak faedah-faedah lain yang anda peroleh sekiranya anda meluangkan hanya sedikit masa untuk menikmati hidangan sarapan yang menyihatkan. 
Antaranya adalah:
• Sarapan yang menyihatkan dapat mengurangkan rasa lapar yang tidak menentu sekali gus anda tidak akan makan kudap-kudapan sementara menantikan waktu makan tengah hari.
• Sarapan boleh mengelakkan daripada rasa lapar yang keterlaluan menjelang waktu makan tengah hari, jadi anda tidak akan makan mengikut nafsu lapar yang mungkin menyebabkan makan berlebihan.
• Mungkin ada yang sengaja tidak bersarapan, sebagai alasan untuk kuruskan badan. Bagaimanapun, strategi tersebut bukanlah satu langkah bijak. Tidak ada bukti nyata bahawa seseorang yang tidak bersarapan dapat menguruskan badan, malah beberapa kajian mendapati kebanyakan mereka yang tidak bersarapan akan lebih cenderung untuk makan makanan berkalori tinggi sepanjang hari.
• Tahap metabolisme seseorang yang bersarapan makanan yang menyihatkan akan meningkat berbanding mereka yang tidak bersarapan. Perlu diingat bahawa tahap metabolisme yang tinggi amat penting bagi seseorang yang ingin mengurangkan berat badan.
Jadi, sekiranya anda benar-benar tidak berselera atau tidak rasa lapar, sebaiknya jamah sedikit makanan, bak kata orang “untuk mengalas perut.” Ini termasuklah biskut atau sebarang jenis ban serta sedikit minuman seperti susu rendah lemak, air soya atau jus. Sebaiknya makanlah biskut, roti atau ban yang tinggi serat, yoghurt atau buah-buahan seperti epal, pisang atau pear. Makanan dan minuman tersebut tidak memerlukan penyediaan yang rumit atau memakan masa yang lama, justeru ia juga sesuai untuk mereka yang kelewatan.
Ramai di antara kita yang memberi alasan tidak biasa makan di waktu pagi atau perut meragam jika makan di waktu pagi. Sebenarnya, mungkin perut anda akan meragam pada peringkat permulaannya, tetapi setelah terbiasa, ia akan menjadi rutin yang menyihatkan.
Jadi, sekiranya anda ingin menikmati gaya hidup sihat, mulakan langkah pertama dengan meluangkan sedikit masa untuk bersarapan. Kesihatan dan kecergasan diri bergantung kepada usaha anda!
TIP-TIP SARAPAN MUDAH DAN MENYIHATKAN
1. Semangkuk bijirin sarapan pagi + susu segar = Sajian sarapan berkhasiat yang mudah disediakan. Lebih enak jika ditambah hirisan buah seperti epal, pisang atau strawberi.

2. Roti bakar (gunakan roti tinggi serat) + mentega kacang + taburan kismis = Enak dan berkhasiat jika anda bijak menyediakannya.

3. Sandwic tuna + keju = Kombinasi boleh mengenyangkan sehingga waktu makan tengahari.

4. Telur dadar (telur + sayur-sayuran segar seperti lobak merah, brokoli, daun seleri, atau cendawan) = Sarapan yang baik dan tinggi protein.

Lengkapkan hidangan sarapan dengan minuman jus buah-buahan segar yang disediakan sendiri.Campurkan sedikit susu segar ke dalam jus untuk sumber kalsium.

No comments:

Post a Comment