Walaupun telah sering kita dengar bahawa sarapan adalah hidangan
paling penting sebelum memulakan kehidupan seharian, masih ramai di antara kita
yang tidak mempedulikan hakikat itu. Ini bukan saja berlaku di kalangan
kanak-kanak malah golongan dewasa dan remaja.
Kelewatan, tidak selera, tidak lapar atau apa juga alasan, hakikatnya sarapan amat penting untuk memberikan tenaga. Selain itu, banyak faedah-faedah lain yang anda peroleh sekiranya anda meluangkan hanya sedikit masa untuk menikmati hidangan sarapan yang menyihatkan.
Antaranya adalah:
• Sarapan yang menyihatkan dapat
mengurangkan rasa lapar yang tidak menentu sekali gus anda tidak akan makan
kudap-kudapan sementara menantikan waktu makan tengah hari.
• Sarapan boleh mengelakkan daripada rasa
lapar yang keterlaluan menjelang waktu makan tengah hari, jadi anda tidak akan
makan mengikut nafsu lapar yang mungkin menyebabkan makan berlebihan.
• Mungkin ada yang sengaja tidak
bersarapan, sebagai alasan untuk kuruskan badan. Bagaimanapun, strategi
tersebut bukanlah satu langkah bijak. Tidak ada bukti nyata bahawa seseorang
yang tidak bersarapan dapat menguruskan badan, malah beberapa kajian mendapati
kebanyakan mereka yang tidak bersarapan akan lebih cenderung untuk makan
makanan berkalori tinggi sepanjang hari.
• Tahap metabolisme seseorang yang
bersarapan makanan yang menyihatkan akan meningkat berbanding mereka yang tidak
bersarapan. Perlu diingat bahawa tahap metabolisme yang tinggi amat penting
bagi seseorang yang ingin mengurangkan berat badan.
Jadi, sekiranya anda benar-benar tidak
berselera atau tidak rasa lapar, sebaiknya jamah sedikit makanan, bak kata
orang “untuk mengalas perut.” Ini termasuklah biskut atau sebarang jenis ban
serta sedikit minuman seperti susu rendah lemak, air soya atau jus. Sebaiknya
makanlah biskut, roti atau ban yang tinggi serat, yoghurt atau buah-buahan
seperti epal, pisang atau pear. Makanan dan minuman tersebut tidak memerlukan
penyediaan yang rumit atau memakan masa yang lama, justeru ia juga sesuai untuk
mereka yang kelewatan.
Ramai di antara kita yang memberi alasan
tidak biasa makan di waktu pagi atau perut meragam jika makan di waktu pagi.
Sebenarnya, mungkin perut anda akan meragam pada peringkat permulaannya, tetapi
setelah terbiasa, ia akan menjadi rutin yang menyihatkan.
Jadi, sekiranya anda ingin menikmati gaya
hidup sihat, mulakan langkah pertama dengan meluangkan sedikit masa untuk
bersarapan. Kesihatan dan kecergasan diri bergantung kepada usaha anda!
TIP-TIP SARAPAN MUDAH DAN MENYIHATKAN
1. Semangkuk bijirin sarapan pagi + susu
segar = Sajian sarapan berkhasiat yang mudah disediakan. Lebih enak jika
ditambah hirisan buah seperti epal, pisang atau strawberi.
2. Roti bakar (gunakan roti tinggi serat) +
mentega kacang + taburan kismis = Enak dan berkhasiat jika anda bijak
menyediakannya.
3. Sandwic tuna + keju = Kombinasi boleh
mengenyangkan sehingga waktu makan tengahari.
4. Telur dadar (telur + sayur-sayuran segar
seperti lobak merah, brokoli, daun seleri, atau cendawan) = Sarapan yang baik
dan tinggi protein.
Lengkapkan hidangan sarapan dengan minuman
jus buah-buahan segar yang disediakan sendiri.Campurkan sedikit susu segar ke
dalam jus untuk sumber kalsium.