Showing posts with label kopi. Show all posts
Showing posts with label kopi. Show all posts

Thursday, 25 July 2013

MACAM-MACAM KISAH MENGENAI TEH





Minum Teh Lebih Baik Daripada Air Kosong

Rata-rata, umum mengetahui dan sentiasa diberitahu bahawa amalan meminum air kosong/putih adalah yang terbaik. Lain pula kisahnya penemuan para penyelidik King’s College, London, UK, tidak lama dulu.

Mereka mendapati, jika seseorang itu meminum sekurang-kurangnya tiga cawan teh atau lebih setiap hari, tahap kesihatannya boleh meningkatkan berbanding apabila hanya minum air kosong/putih. 

Kajian tersebut, antara lain mendapati, kepercayaan bahawa teh menyahhidrat cairan/bendalir dalam tubuh adalah tidak benar, kerana hakikatnya teh menghidratkan tubuh sepertimana air kosong/putih. Teh bukan saja menghidrat semula tubuh, malah melindungi kita daripada risiko penyakit jantung serta kanser.  Lebih daripada itu, amalan meminum teh sekurang-kurangnya tiga cawan teh atau lebih setiap hari boleh membantu kita menjaga kesihatan gigi dan tulang.

Para penyelidik terlibat yang tidak dapat menjelaskan secara terperinci mengenai penemuan tersebut bagaimanapun percaya bahawa ianya adalah kerana kandungan flavaniod, sejenis antioksidan polyphenol yang banyak ditemukan dalam buah-buahan, sayuran dan rempah-rempah termasuk teh. Flavonoid berperanan membantu menghalang kerosakan sel.

Ketua penyelidik, Dr Carrie Ruxton, seorang pakar pemakanan, berkata bahawa teh adalah lebih baik daripada air kosong/putih kerana air hanya menghidratkan semula tubuh, manakala teh menghidratkan semula serta mengandungi antioksidan yang diperlukan tubuh. Dengan teh,  kita memperoleh dua faedah.
Dalam satu temu bual dengan BBC, Dr. Ruxton berkata, “Kajian ke atas kafeina mendapati ianya mengandungi dos penyahhidrat yang tinggi justeru setiap individu yang meminum minum berkafein menganggap ianya menyahhidrat tubuh.  Tetapi, hakikatnya, jika seseorang itu telah minum secawan teh atau kopi pekat, cairan/bendalir dalam tubuhnya tetap bertambah. Malah, secawan teh mengandungi flourida, yang sememangnya baik untuk gigi.
  
Kumpulan penyelidik tersebut mendapati, orang ramai di UK semakin kurang meminum teh  berbanding sebelumnya - mungkin kerana kebanyakan mereka lebih memilih minuman ringan. Golongan yang banyak minum teh di UK adalah mereka yang berusia lebih 40 tahun.

Hasil menyeluruh kajian tersebut disiarkan dalam The European Journal of Clinical Nutrition.

Gemar Minum Teh Penyebab Kanser Prostat

Banyak penyelidikan telah membuktikan teh adalah baik untuk kesihatan. Bagaimanapun, ada pula kajian yang menyatakan bahawa lelaki yang banyak minum teh berisiko tinggi menderita gangguan prostat.

Kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Glasgow University itu dijalankan ke atas lebih 6,000 sukarelawan dengan memantau tahap kesihatan mereka selama 37 tahun. Kajian tersebut mendapati lelaki yang minum lebih daripada tujuh cawan teh setiap hari mempunyai 50 peratus lebih tinggi risiko menghidap kanser prostat berbanding lelaki yang minum secara sederhana atau tidak minum teh langsung.

Para penyelidik bagaimanapun tidak dapat memastikan samada teh adalah antara  punca meningkatnya risiko kanser prostat atau kerana lazimnya umur mereka yang minum teh adalah lebih panjang, justeru penyakit kanser prostat kerap berlaku apabila mereka lebih berusia.

Kanser prostat adalah jenis kanser yang kerap berlaku di kalangan lelaki di Scotland dan diagnosis penyakit ini meningkat sebanyak 7.4 persen di antara tahun 2000 dan 2010.

Kajian yang bermula pada tahun 1970 itu melibatkan seramai 6016 sukarelawan berumur di antara 21 hingga 75 tahun. Mereka diminta menjawab soalan-soalan mengenai tabiat minum teh, kopi, alkohol, merokok dan kesihatan umum, dan seterusnya diminta menghadiri pemeriksaan kesihatan.

Hampir suku/seperempat daripada mereka adalah peminum tegar teh. Daripada jumlah itu pula, 6.4 peratus didiagnos menghidap kanser prostat sepanjang tempoh penyelidikan yang memakan masa selama 37 tahun itu.

Mereka juga mendapati bahawa lelaki yang minum lebih daripada 7 cawan teh setiap hari mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser prostat berbanding lelaki yang tidak minum atau minum kurang daripada 4 cawan sehari.

“Kami tidak pasti samada teh merupkan faktor risiko atau ianya kerana mereka yang minum teh selalunya lebih sihat dan boleh hidup lebih lama di mana pada usia tersebut lebih berisiko menghidap kanser prostat,” menurut Dr. Kashif Shafique, pengersi kumpulan penyelidik dari Glasgow University Institute of Health and Wellbeing itu.

“Kami mendapati para peminum tegar teh jarang sekali menghadapi masalah berat badan, tidak minum alcohol dan mempunyai tahap kolesterol yang baik,” tambah Shafique yang menerbitkan penemuan tersebut dalam jurnal Nutrition and Cancer.

Sementara itu, Dr Kate Holmes, Ketua penyelidikan di Prostate Cancer Charity, berkata terdapat kelemahan dalam penyelidikan itu kerana ia tidak mengambil kira latar belakang sejarah keluarga atau unsur-unsur makanan lain selain tabiat meminum teh, kopi dan alkohol.
“Oleh itu kami tidak mahu sesiapapun rasa risau bahawa dengan meminum teh secara sederhana sebagai sebahagian amalan pemakanan sihat tidak semestinya meningkatkan risiko menghidap kanser prostat,” katanya.
Nota: Kanser prostat atau Barah prostat adalah sejenis kanser yang berkembang di dalam prostat iaitu kelenjar dalam sistem pembiakan lelaki.