Showing posts with label Pulau. Show all posts
Showing posts with label Pulau. Show all posts

Friday, 18 October 2013

PULAU MABUL Menarik Minat Penyelam; Penduduknya Menarik Minat TELEKUNG PROJEK



Apakah yang diinginkan ketika percutian di pulau jika bukan pemandangan indah pantai dan lautannya, keindahan matahari terbit di waktu pagi serta tenggelam di senja hari?
Bajau Laut

Pulau Mabul di Sabah, memang terkenal di kalangan para penyelam skuba. Bagi mereka , pastinya keindahan dasar lautan di situ yang sudah gah di serata dunia yang ingin diterokai dan dinikmati. Tetapi, tidak mengecewakan sekiranya anda tidak tahu menyelam, anda boleh juga snorkeling. Tidak ingin basah? Anda masih boleh menikmati keindahan dasar laut tanpa perlu snorkeling atau menyelam. Ini boleh dilakukan jika anda tinggal di homestay-homestay yang terdapat di pulau ini, umpamanya di The SphereDivers Lodge. Sampai saja, terus terjun ke air…

Telah banyak kita baca dan lihat melalui media cetak dan elektronik mengenai keindahan dasar laut Pulau Mabul. Kisah-kisah kanak-kanak Mabul yang ceria juga turut dimuatkan. Banyak yang dipelajari ketika meluangkan masa selama enam hari bersama-sama ‘geng’ Telekung Project di pulau itu.

The Telekung Project bukanlah asing di pulau Mabul, Sabah. Boleh dikatakan keseluruh penduduk Mabul sudah kenal nama tersebut terutamanya kanak-kanak. Malah apabila saya memperkenalkan diri sebagai salah seorang sukarelawati Telekung Project, kanak=kanak ini terus bertanyakan, “Di mana Mama Zila.”
Azila bersama Mabul Kids sebelum Sukaneka

Mama Zila yang dimaksudkan ialah Norazila Abdul Aziz, pengasas The Telekung Project. Kunjungan beliau setiap empat bulan ke pulau tersebut nyata tidak sia-sia. Ini jelas dapat dilihat apabila saya meluangkan masa dengan kanak-kanak itu.  Mereka sering menyebut-nyebut nama “Mama Zila”. Sesetengah perlakuan dan perbuatan mereka juga berdasarkan, “Mama Zila ajar…” atau “Mama Zila kata…” begitu dan begini. Lebih membanggakan, mereka bertanya, “Ada bawa buku untuk kami tak?” 

Di mata saya dan sesiapa juga yang pertama kali melawat perkampungan nelayan itu, pastinya merasakan kehidupan penduduk yang terdiri daripada masyarakat beragama Islam, berketurunan Suluk dan Bajau Laut itu kelihatan amat susah malah sesetengahnya daif. Tetapi setelah bergaul dan mengenali mereka, nyata tanggapan saya agak meleset. Jurang kehidupan itu hanya di mata saya. Mereka senang seadanya, masing-masing punyai rumah, makanan dan mampu menyara hidup keluarga. Walaupun tinggal di  rumah kecil yang pastinya tidak cukup luas untuk keluarga yang agak besar dan menyara anak di antara 5 hingga 7 orang, wajah mereka sentiasa jernih dan ceria. Tidak langsung kelihatan wajah-wajah stres, namun begitu, jelas kelihatan wajah yang dibakar mentari dan dimakan usia  dek jerih-payah mencari rezeki. Hidangan harian biasanya ikan goreng atau ikan mentah yang disediakan dengan cara tersendiri, di makan sama ada dengan nasi atau kanji ubi kayu yang disediakan cara tradisional. Sayuran-sayuran, daging atau ayam jarang dihidangkan kerana lebih mahal dan terpaksa di’import’ dari Semporna.

Jika begitu, kenapa mereka perlu ditolong? Azila memberitahu,Telekung Project menyedari banyak lagi keperluan penduduk Mabul terutamanya kanak-kanak. “Tidak cukup sekadar menjalani kehidupan yang sebegitu,” tambah beliau.

Justeru, setiap lawatan beliau mempunyai tema tertentu  yang sesuai, merangkumi pelbagai aspek. Kali ini, mengenai pendidikan dan pemuliharaan. Pendidikan dan ilmu dibawa kepada anak-anak Mabul. Bukan saja buku-buku dan alat tulis untuk membaca dan menulis, malah pendidikan mengenai penjagaan dan kebersihan diri, cara berpakaian,  keagamaan, adab bergaul, sopan santun dan disiplin.

Sebaik saja melihat kelibat Azila dan para sukarelawati melintas, ramai kanak-kanak akan ikut sama bagaikan satu perarakan. Begitulah, berapa kali setiap hari kami melintas di kampung tersebut. Apatah lagi bila kami membawa bungkusan-bungkusan untuk diedarkan. Antara  barangan yang diedarkan adalah barang-barang asas penjagaan diri seperti sikat, berus dan ubat gigi, sabun dan pakaian dalam kanak-kanak yang baru. Selain telekung baru, telekung terpakai, kopiah dan pakaian-pakaian terpakai juga diedarkan kepada para penduduk kampung.
Azila mengagihkan Cupcakes kepada kanak-kanak
 Bukan mudah mengedarkan barangan tersebut, bak kata seorang sukarelawati, “macam main ragbi.” Bayangkanlah kumpulan kami di kejar ke mana saja kami pergi dan arahan supaya berbaris dan tidak berebut-berebut tidak diendahkan. Sambil menyampaikan barangan tersebut,  Azila memberi sedikit sebanyak pengetahuan mengenai penjagaan diri, tatasusila dan menasihatkan agar mereka bersifat jujur supaya tidak berulang-ulang mengambil pemberian tersebut kerana masih ramai yang memerlukannya.

Berjalan-jalan di sekitar kampung, sama ada di waktu pagi, tengah hari, petang atau malam, pastinya kelihatan ramai kanak-kanak di sana sini. Tidak kurang juga golongan lelaki dan wanita dewasa yang berkumpul dan berbual-bual. Apakah lagi yang perlu mereka buat setelah selesai ke laut? Hendak menonton, hanya beberapa buah rumah saja yang memiliki televisyen dan bekalan letrik hanya ada pada pukul 6 petang hingga 7 pagi.

Teringatkan kata-kata seorang kenalan di situ, bahawa kebanyakan keluarga mempunyai lima hingga tujuh orang anak. Terlintas pula difikiran, nampaknya macam jumlah kanak-kanak lebih ramai daripada dewasa? Bagaimanapun, saya difahamkan terdapat kira-kira 750 orang kanak-kanak daripada 3,000 penduduk di situ. Sejumlah 250 kanak-kanak yang mempunyai dokmen sah bersekolah di sekolah kerajaan, 80 di Mabul Kids Education Society Sabah (Mabul Kids) dan selebihnya tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen sah. Jadi wajar, jika kebanyakan mereka sentiasa kelihatan berkejaran atau bermain di setiap pelosok pulau itu.

Selain mengedarkan pelbagai barangan keperluan kepada para penduduk di situ, aktiviti Telekung Project banyak bertumpu kepada Mabul Kids. Mabul Kids
Azila dan Stanley sentiasa dikerumuni kanak-kanak
diasaskan oleh Stanley Sie, yang juga merupakan pengusaha Spheredivers Lodge.  Jadi tidak hairanlah, jika kanak-kanak di sini sering menyebut-nyebut nama Papa Stanley dan Teacher Ali, guru yang mengajar mereka. Antaranya adalah gotong-royong membersihkan kawasan sekolah kerajaan, pantai, perkuburan, masjid, aktiviti sukaneka, tahlil dan banyak lagi. Murid-murid Mabul Kids mengamal sopan santun dan berbudi bahasa dan selain berbahasa Malaysia, mereka boleh juga sedikit sebanyak berbahasa Inggeris.

Daripada pengamatan saya, terdapat empat kelompok kanak-kanak dengan perwatakan berbeza di pulau ini. Mabul kids bukan saja mesra malah mudah diberi tunjuk ajar, berdisiplin  dan akur, kanak-kanak yang bersekolah kerajaan juga mudah diajak bergaul, manakala kanak-kanak yang tidak bersekolah walaupun agak mesra namun perlu dibentuk dan didisiplinkan. Contohnya jelas dapat dilihat ketika kami membahagi-bahagikan barangan keperluan. Kumpulan lain ialah kanak-kanak Bajau Laut yang tinggal di pelosok lain pulau tersebut. Mereka tidak mesra dan sekiranya didekati atau dirakam gambar, mereka mengharapkan habuan. Sekiranya diberikan makan atau wang pada seorang, yang lain akan menyerbu.
Dua kumpulan kanak-kanak ini tinggal di pulau yang sama tetapi punya latarbelakang dan cara hidup berbeza. Cara kanak-kanak Suluk (atas) meluangkan masa lapang mereka juga berbeza dengan kanak-kanak Bajau (bawah)



Pulau Mabul hanya seluas 20 hektar dan seseorang boleh berjalan-jalan melawat keseluruh kampung di situ dalam tempoh kurang 45 minit, iaitu untuk perjalanan yang kurang 4 kilometer mengelilinginya. Apa yang pasti, walaupun anda bukan seorang penyelam, anda juga boleh menikmati keindahan dasar laut dengan aktiviti snorkeling. Malah keindahan kehidupan perkampungan itu juga punya tarikan yang tersendiri. Sentiasa ada senyuman dan gelak tawa terutamanya dengan kehadiran Telekung Project.